Thursday, January 1, 2009

Rawatan Osteoartritis

SEHINGGA kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoartritis sementara ubat-ubat yang ada sekarang cuma dapat melambatkan proses degenerasi (kemerosotan) sendi.

Ini supaya pembedahan gantian sendi dapat dielakkan atau pun setidak-tidaknya menolong menangguhkan pembedahan tersebut supaya ia dilakukan apabila pesakit sudah tua dan tidak mempunyai aktiviti harian yang aktif lagi.

Rawatan untuk penyakit osteoartritis dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori utama. Rawatan farmakologi adalah pilihan pertama untuk menangani osteoartritis.

Rawatan bukan farmakologi pula merupakan rawatan sokongan dan tambahan. Pembedahan adalah kategori yang ketiga, biasanya menjadi pilihan terakhir sekiranya kedua-dua rawatan awal tadi sudah tidak berkesan.

Rawatan farmakologi

Analgesia atau ubat penahan sakit adalah rawatan farmakologi yang merupakan tunggak untuk osteoartritis.

Analgesia bukan opioid seperti paracetamol dan acetaminophen adalah jenis analgesia ringan untuk osteoartritis peringkat awal.

Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) pula merupakan jenis kumpulan analgesia lain untuk osteoartritis.

Kebanyakan doktor lebih cenderung untuk terus memberi preskripsi NSAID kerana ia juga mempunyai fungsi untuk melegakan keradangan di samping mengurangkan sakit akibat osteoartritis.

Ubat ini murah dan berkesan untuk osteoartritis tahap awal, tetapi penggunaan jangka panjang tidak digalakkan terutamanya bagi golongan warga emas.

Kesan sampingannya seperti gastritis dan pendarahan gastrik boleh memudaratkan pesakit-pesakit dari golongan ini.

'Cyclooxygenase-2 inhibitor' (COX-2 inhibitor) adalah jenis kumpulan ubat penahan sakit terkini yang sekarang boleh didapati di kebanyakan hospital-hospital besar di negara kita.

Ubat ini adalah lebih sesuai untuk golongan warga emas kerana kesan sampingan seperti yang dinyatakan tadi adalah kurang berbanding dengan ubat jenis NSAID.

Namun begitu, seperti analgesia yang lain, pesakit hendaklah berhati-hati dengan pengunaan berterusan jangka panjang.

Pesakit-pesakit yang juga mempunyai masalah jantung dan darah tinggi hendaklah berbincang dengan doktor sebelum menggunakan analgesia jenis ini.

Opiod adalah kumpulan analgesia yang agak kuat. Ia membuat banyak kesan sampingan yang kebanyakannya tidak sesuai untuk warga emas dan merupakan jenis analgesia terakhir yang hanya diberikan untuk osteoartritis tahap teruk.

Bagaimanapun, jika seseorang pesakit itu sudah terpaksa diberikan opiod untuk menahan sakit, ini bermakna pembedahan gantian sendi adalah sangat perlu kerana tahap osteoartritis pesakit terbabit sudah mencapai tahap yang teruk.

Selain dari ubat penahan sakit jenis oral, ada juga ubat jenis sapuan yang diperbuat dari gel atau krim dan boleh digunakan untuk kelegaan tambahan. Ubat-ubat ini selalunya tidak lagi berkesan untuk peringkat osteoartritis yang teruk.

Ubat-ubat baru seperti glucosamine, chondroitin dan diacerin adalah termasuk di dalam kategori ubat-ubat tambahan dan sokongan yang boleh di ambil bersama dengan analgesia. Ketiga-tiganya bertindak dan mempunyai fungsi yang berlainan.

Glucosamine bertindak dengan mengembalikan cecair sendi dan membantu melicinkan pergerakan sendi. Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan sakit sendi kerana geseran.

Chondroitin pula boleh menahan kerosakan lanjut rawan jika diambil pada peringkat awal osteoartritis sementara Diacerin adalah untuk mengurangkan radang di sekitar sendi di samping dikatakan boleh menolong mengurangkan sakit akibat osteoartritis.

Setakat ini, kesan sampingan dari ubat- ubat sokongan yang disebut tadi tidak begitu teruk dan boleh diterima oleh kebanyakan pesakit.

Bagaimanapun, segelintir pesakit yang mengambil Diacerin boleh mendapat cirit-birit yang ringan di dalam masa beberapa hari selepas ubat ini ambil.

Di samping ubat sokongan yang boleh diambil secara oral, ubat jenis suntikan intra-artikular seperti asid hylarunik juga boleh digunakan untuk menambah cecair pada sendi yang bermasalah.

Suntikan ke dalam sendi ini boleh memberikan kesan yang cepat dengan mengurangkan sakit dan mengurangkan bunyi geseran (crepitus) akibat dari osteoartritis.

Sebelum ini, pesakit perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga suntikan setiap minggu untuk satu rawatan penuh bagi satu-satu sendi.

Bagaimanapun, kini terdapat produk asid hylarunik yang hanya perlu disuntik sekali sahaja bagi memberikan kesan hampir sama.

Suntikan ini hendaklah dilakukan oleh doktor atau pakar otopedik bagi mengelakkan dari masalah asid hylarunik tidak disuntik dengan betul ke dalam sendi.

Rawatan bukan farmakologi dan sokongan

Kategori rawatan ini agak luas skopnya dan merangkumi semua aspek perubatan sama ada tradisional, alternatif ataupun yang melibatkan pemakanan.

Secara umumnya, rawatan-rawatan ini tidak banyak mengubah perkembangan penyakit tersebut.

Walaubagaimanapun, rawatan-rawatan sebegini berguna sebagai rawatan tambahan, bergantung kepada kecenderungan individu.

Ada pesakit yang mendapati rawatan-rawatan seperti sebegini menolong melegakan kesakitan dan rasa kaku sendi akibat osteoartritis.

Fisioterapi merupakan rawatan bukan pharmakologi yang biasa digunakan di hospital untuk rawatan osteoartritis.

Ia bertujuan untuk menguatkan otot-otot di sekitar sendi terbabit di samping memberikan rangsangan untuk mengurangkan kesakitan.

Fisioterapi sendiri boleh dibahagikan kepada penggunaan alat-alatan dan jenis-jenis senaman.

Jenis alat-alatan yang boleh membantu rawatan osteoartritis adalah diatermi gelombang pendek (SWD), terapi ultrasound, Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation (TENS) dan sebagainya.

Jenis-jenis senaman khas untuk pesakit-pesakit osteoarthritis pula bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat. Biasanya senaman ini hanya sesuai untuk osteoartritis tahap awal atau sederhana.

Selain itu, pesakit juga boleh melakukan senaman lain seperti berenang atau menunggang basikal yang memberikan kesan yang baik untuk sendi.

Senaman-senaman ringan seperti Tai Chi dan senaman tradisonal yang lain juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoartritis.

Selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka. Oleh kerana osteoartritis ada kaitan dengan obesiti, pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut.

Pada peringkat awal, pengurangan berat badan lebih dari lima kilogram (kg) dapat memberikan impak positif seperti mengurangkan sakit sendi dan mengurangkan tanda-tanda lain osteoartritis.

Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat dari impak berat badan yang berlebihan.

Rawatan-rawatan alternatif lain seperti Ayuverda, akupuntur, Shiatsu, jenis-jenis urutan dan sebagainya turut dikatakan mampu mengurangkan gejala-gejala osteoartritis.

Pengunaan herba, gamat ataupun produk-produk tradisional yang lain boleh dicuba bersama rawatan dari hospital tetapi hendaklah mendapatkan nasihat dari doktor-doktor yang berkenaan terlebih dahulu.

Pembedahan

Artroskopi, osteotomi (pembetulan tulang), artrodisis dan pembedahan gantian tulang (artroplasti) adalah contoh-contoh pembedahan yang boleh dilakukan untuk pesakit-pesakit osteoarthritis.

Pembedahan-pembedahan ini bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoartritis yang dihadapi.

Di peringkat awal, pembedahan artroskopi ataupun osteotomi boleh dilakukan sebagai langkah untuk melambatkan keperluan untuk pembedahan arthroplasti.

Pembedahan artrodisis pula sudah jarang sekali dilakukan dan tidak begitu popular di kalangan pesakit-pesakit kerana sendi-sendi yang terlibat terus dikakukan dari sebarang pergerakan.

Pembedahan artroplasti ialah pembedahan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan (prostesis).

Ianya adalah jalan terakhir untuk rawatan osteoarthritis dan merupakan rawatan piawaian yang diterima oleh majoriti doktor-doktor yang merawat osteoartritis tahap teruk.

Pembedahan artroplasti ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan bahu.

Kebanyakan pesakit tidak mendapat penerangan yang jelas dan tepat mengenai pembedahan ini menyebabkan ramai yang menolak apabila rawatan ini ditawarkan.

Bagaimanapun, lebih 90 peratus daripada yang telah menjalani pembedahan ini berpuas hati dengan hasil pembedahan dan mendapati sakit sendi telah berkurangan. Di samping itu, ia dapat menghasilkan sendi-sendi yang mempunyai julat pergerakan yang hampir normal.

Harga prostesis untuk pembedahan artroplasti ini bergantung kepada jenis sendi dan bahan yang digunakan. Sebagai contoh, harga prostesis untuk lutut bermula dari RM6,000 dan mungkin agak mahal bagi sesetengah pesakit.

Walaupun begitu, manfaat dari pembedahan ini banyak. Selepas pembedahan, pesakit-pesakit akan mendapati penggunaan analgesia akan berkurangan secara mendadak.

Selain itu, aktiviti-aktiviti harian yang dahulunya tidak dapat dilakukan selepas mendapat osteoartritis sudah tidak begitu terbatas lagi.

Memandangkan tahap jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin meningkat, pembedahan ini juga dapat menolong pesakit-pesakit osteoartritis yang teruk dari menderita untuk satu jangka masa yang panjang.

Seperti kebanyakan pembedahan yang lain, pembedahan artroplasti ini ada risikonya. Jangkitan kuman, darah beku di kaki, radang paru-paru adalah antara risiko-risiko yang boleh terjadi selepas pembedahan tersebut dijalankan.

Bagaimanapun, kebarangkalian untuk mendapat risiko-risiko ini adalah sangat kecil. Langkah-langkah pengawasan seperti antibiotik profilaklis, ubat pencair darah dan mesin ankle foot pump dapat mengurangkan lagi risiko-risiko berkenaan.

Hampir kesemua hospital-hospital besar awam di Malaysia kini ada menawarkan khidmat untuk melakukan pembedahan tersebut. Hospital-hospital swasta juga menawarkan perkhidmatan sama dengan harga yang berpatutan.

Diagnosis yang tepat dan pengesahan osteoartritis adalah langkah yang paling penting sebelum rawatan dapat dimulakan.

Walaupun sehingga kini tiada rawatan yang boleh menyembuhkan osteoartritis, namun banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menolong pesakit menghadapi penyakit tersebut.

Untuk osteoartritis peringkat awal, perubahan gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, pemakanan yang sihat dan bersenam dapat menolong pesakit-pesakit menangani gejala-gejala osteoarthritis.

Di samping itu, ubat-ubat yang ada perlulah diambil mengikut kesesuaian dan seperti yang disarankan oleh doktor. Pembedahan artroplasti adalah rawatan yang standard untuk osteoartritis tahap teruk. Ia semakin mendapat perhatian dari pesakit-pesakit kerana sebelum ini pembedahan artroplasti dan manfaat-manfaat dari pembedahan tersebut tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya.

Di samping mengikut arahan doktor, pesakit-pesakit juga perlu menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa tentang osteoartritis.

Anda boleh bertanya mengenai perkembangan terbaru ini kepada doktor-doktor anda semasa rawatan lanjutan atau mendapatkan informasi berkenaan osteoartritis dari media massa mahupun dari internet.

No comments:

Post a Comment