Thursday, January 1, 2009

Kehamilan terancang kesihatan reproduktif

PENCEGAH kehamilan atau kontrasepsi ialah satu proses menghalang persenyawaan atau mencegah atau memperlambatkan percantuman sperma dan telur. Kontrasepsi kini semakin menjadi trend masyarakat untuk merancang keluarga. Ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada keluarga dan komuniti untuk membina kesihatan reproduktif.

Kesihatan reproduktif adalah keadaan sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya kerana tiada penyakit dalam semua perkara yang berkaitan dengan sistem reproduktif, fungsi dan prosesnya.

Malaysia kini mempunyai seramai 14.05 juta penduduk wanita di mana 7.59 juta terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 49 tahun dan sepertiga jumlah penduduk Malaysia berumur 10 hingga 24 tahun.

Dalam hal ini, perancang keluarga penting kerana dapat menyelamatkan kira-kira 175,000 wanita setiap tahun, mengurangkan sebanyak 2.7 juta kematian bayi, mengurangkan kematian 1.8 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun, serta satu pertiga daripada kematian yang berkaitan kehamilan dan kelahiran dapat dielakkan. Namun, masyarakat tidak boleh memandang negatif tentang penggunaan kontrasepsi.

Walaupun ia dapat mengurangkan gejala sosial komuniti namun ia sebenarnya memberi kesan positif terhadap pembangunan keluarga. Pencegah kehamilan dapat memberi kebaikan kepada wanita, pasangan, anak-anak dan komuniti.

Jika anda tidak menggunakan apa-apa agen atau alat bagi tujuan berkenaan, adakah anda menimbangkan untuk menggunakannya selepas ini?

Sudah tentu, penggunaan kontraseptif menjanjikan keputusan yang lebih baik jika dibandingkan dengan pasangan yang tidak mengamalkan sebarang kaedah.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Harlina Halizah Siraj, kehamilan yang diingini dapat membina keluarga serta komuniti yang sejahtera.

“Sekarang terdapat pelbagai pilihan pencegah kehamilan dan digunakan mengikut kesesuaian serta pilihan wanita,” katanya dalam sidang media anjuran Weber Shandwick di Wisma LYL, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, pemilihan kaedah pencegah kehamilan yang terbaik bergantung kepada beberapa faktor seperti kepercayaan, tahap kesihatan wanita, umur wanita, kekerapan hubungan seks dan kehendak pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak.

“Ia mungkin berubah dari semasa ke semasa sama ada mengikut kesesuaian cara hidup pasangan suami isteri, keberkesanan kaedah, ciri keselamatan dan kemampuan untuk mengamalkan kaedah tersebut.

Namun, apa yang penting, penggunaannya harus betul (seperti dalam arahan penggunaan) dan konsisten,” jelasnya.

Bagi tujuan ini juga, mana-mana pasangan suami isteri yang ingin merancang kelahiran anak dan mencegah kehamilan boleh mendapatkan khidmat tersebut dengan berjumpa doktor, ahli farmasi dan jururawat di hospital dan klinik kerajaan ataupun swasta.

Dr. Harlina memberitahu, keadaan keluarga masyarakat hari ini juga mempengaruhi trend penggunaan pencegah kehamilan.

“ Keadaan keluarga masa kini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kebanyakan wanita dan lelaki hari ini berpendidikan tinggi, lewat kahwin dan mempunyai saiz keluarga yang kecil. Di samping itu, peningkatan penceraian keluarga serta poligami juga berlaku selain daripada aktiviti seksual remaja yang semakin meningkat,” tambahnya.

Sementara itu, pencegah kehamilan juga dapat membendung masalah pembuangan bayi yang semakin menular di kalangan masyarakat.

“Kandungan yang tidak diingini menjadi faktor pembuangan bayi. Oleh itu, kehamilan perlu dirancang dan diingini. Maka pasangan akan merancang dengan baik sehingga tempoh kelahiran kelak,” jelasnya.

Selain daripada kaedah lazim untuk mengelak kehamilan seperti mengelakkan daripada melakukan persetubuhan, azal (di mana, suami mencabut zakar dari faraj sebelum pengeluaran air mani (ejakulasi). Kaedah ini dikatakan diamalkan sejak zaman dahulu kala lagi), kaedah semula jadi (pasangan suami isteri yang memilih kaedah ini harus memastikan tempoh kesuburan wanita dan kondom, terdapat banyak lagi pencegah kehamilan yang lebih efektif dan mudah.

Dr. Harlina memberitahu, pencegah kehamilan yang ideal ialah yang selamat, efektif, yang dapat diterima masyarakat, tidak mahal, mudah melindungi daripada masalah kesihatan yang lain seperti kanser ginekologi.

“Antara yang terbaru tentang pencegahan kehamilan ialah kontrasepsi terkini dapat membangunkan keturunan baru, diperluaskan secara lisan, pengenalan pilihan dan kajian tentang hormon lelaki dan pencegah kehamilan,” jelasnya.

Secara lazimnya, keluarga akan lebih biasa dengan penggunaan pil pencegah kehamilan atau Combined Oral Contraceptive Pills (COCs)

Ia merupakan kombinasi estrogen yang terdiri daripada ethinyl estradiol (EE) dan estradiol (E2).

Pil-pil mengandungi hormon-hormon estrogen dan progestin atau mengandungi hanya hormon progestin.

Malah, pil kombinasi hormon dikatakan dapat mencegah penyakit inflamasi pelvik dan kanser ovari dan endometrial.

Pil jenis ini selamat bagi kebanyakan wanita kecuali wanita yang merokok atau yang mempunyai sejarah keluarga yang berpenyakit jantung

“Terbaru dan masih dalam kajian ialah NOMAC-E2 iaitu estrogen semulajadi yang pertama mengandungi COC. Ia merupakan inovasi pertama dalam kandungan hormon sejak pengenalan pil pencegah kehamilan sejak tahun 60-an lagi,” jelasnya.

Terdapat juga pil perancang yang mudah iaitu lanjutan dos COCs yang kebiasaannya digunakan ketika menunaikan haji.

“Ia digunakan dalam tempoh tiga bulan dan berfungsi dalam purata 91 hari. Cara pengambilan, aktif pil (warna merah samar) akan diambil sembilan hari untuk 84 hari, diikuti tujuh hari untuk pil berwarna putih dan selebihnya menghabiskan pil yang tidak aktif.

Kitaran haid akan berlaku setiap tiga bulan iaitu secara puratanya, empat kali setahun,” jelasnya.

Dr. Harlina menambah, selain pengambilan pil, ramai wanita yang memilih saluran lain.

“Ini dikatakan lebih selamat kerana ia tidak melalui sistem badan dan hati. Kaedah seperti suntikan, tampal, IUCD, gelang faraj, implan dan pil perancang lelaki. Pengambilannya bergantung kepada pilihan keluarga,” jelasnya.

Kesimpulannya, pembangunan baru teknologi pencegah kehamilan masing diteruskan untuk membina komuniti dunia yang sihat dan sejahtera.

“Lebih langkah yang lebih efektif diperlukan untuk mendidik golongan wanita, suami dan keluarga mereka tentang kesedaran serta kepentingan pencegah kehamilan,” jelasnya.

Alternatif Pencegah Kehamilan

Gabungan suntikan dan hormon pencegah kehamilan.

* Dilakukan setiap bulan pada hari ke-28 hingga 30 hari.

* Mengandungi lima miligram estradiol cypionate dan 25 miligram medroxyprogesterone acetate

* Jika sesuai untuk wanita, seseorang itu kurang hadir haid atau tidak mengalaminya langsung.

Jenis tampalan iaitu tompok transdermal

* Ia merupakan kombinasi estrogen dan progestin yang memberi tindak balas terhadap kulit secara perlahan.

* Kaedah ini belum lagi digunakan di Malaysia.

* Cara ini lebih mudah dan dianggap sebahagian daripada kulit (bagi golongan Islam yang ingin mandi hadas besar).

* Penggunaan secara mingguan iaitu untuk tempoh tiga minggu dan satu minggu lagi tampalan dibuka

* Tidak efektif untuk wanita yang melebihi berat 90 kilogram

Gelang faraj

* Inovasi pencegah kehamilan ini semakin popular dan lebih daripada sejuta wanita menggunakannya di Eropah.

* Wanita akan memasukkan ke dalam faraj sendiri ia mudah digunakan kerana boleh digunakan sekali sebulan.

* Mengandungi tahap kombinasi hormon pencegah kehamilan yang rendah.

* Bagi wanita yang ingin merancang keluarga, kaedah ini mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi.

* Gelang faraj juga merupakan kawalan kitaran haid yang cemerlang.

Kebaikan penggunaan gelang faraj

* Ia mudah, selesa dan, ringkas dan selamat.

* Posisi yang tepat bukan menjadi perkara yang penting untuk memastikan dia lebih efektif.

* Gelang tersebut merupakan rahsia dan tiada sesiapa yang mengetahui seorang wanita akan menggunakannya dan lelaki juga tidak perasan atau merasainya ketika melakukan hubungan seks.

l Kaedah ini juga tidak memerlukan khidmat nasihat doktor.

l Ia juga boleh digunakan secara tetap atau dalam tempoh yang pendek

l Ketika melakukan seks, wanita tidak perlu berasa takut dan boleh melakukannya secara spontan.

Namun, dalam ada itu terdapat kesan buruk akibat penggunaan gelang faraj antaranya sakit kepala, berat badan bertambah atau sebaliknya, loya, perubahan perasaan, lelehan faraj dan jangkitan faraj.

Antara penyebab kenapa penggunaan gelang faraj kurang berkesan ialah wanita menggunakannya lebih tiga minggu, ia berada di luar faraj (tidak berada tepat di rahim) sebelum menggunakannya, gelang faraj terdedah dengan cahaya matahari dan suhu yang tinggi

Implan

* Implan merupakan hormon progestin sintetik terdiri daripada enam kapsul kecil yang fleksibel (sebesar batang mancis).

* Terkini wanita hanya menggunakan dua kapsul kecil.

* Kapsul-kapsul ini ditanam di bawah kulit lengan bahagian atas.

* Ia boleh mencegah kehamilan secara berkesan selama lima tahun.

* Bagi wanita yang memilih kaedah ini, dianggarkan sejumlah 0.1 peratus (1 dalam 1,000) akan mengalami kehamilan yang tidak dirancang dalam tahun yang pertama.

Intrauterine Contraceptive Devices (IUCD)

* Alat anjal berbentuk ‘T' ini dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor bagi mengganggu pergerakan sperma dalam ruangan uterin.

Hormon kontraseptif lelaki (MHC)

* Masih dalam tempoh percubaan.

* MHC digunakan untuk menghalang pembentukan sperma dan kaedah ini amat sukar kerana ia boleh menghilangkan sifat kelakian.

* Sebagai tambahan, lelaki perlu mengambil hormon lain untuk mengekalkan sifat lelaki

* MHC akan diambil melalui suntikan sekali setiap lapan minggu.

No comments:

Post a Comment