Thursday, January 1, 2009

Alternatif kanta ICL

DALAM membincangkan kebebasan penglihatan, pembedahan laser kadang kala tidak sesuai untuk sesetengah pesakit atas faktor-faktor tertentu. Kajian berterusan untuk mencari alternatif kepada penggunaan laser untuk mereka yang mahu atau perlu bebas daripada pergantungan alat bantuan melihat terus dijalankan sejak penggunaan laser mula diaplikasikan lagi.

Selain memenuhi permintaan di kalangan pesakit yang tidak sesuai untuk prosedur menggunakan laser, penyelidikan juga bertumpu kepada memberi alternatif untuk pesakit yang mengalami masalah rabun atau astigmatisme yang teruk.

* Alternatif

Pengurus (Asia) STAAR Surgical, Switzerland, Pascal Aeschlimann menyatakan antara alternatif yang berjaya dihasilkan adalah penanaman implan kanta lekap (ICL) yang mula diperkenalkan pada 1993 di Eropah.

“Kanta ICL mula dipasarkan secara komersial sejak 1997 dan telah menerima kelulusan Pentadbiran Makanan dan Perubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 2005.

“Dengan itu, mereka yang mempunyai masalah rabun dan astigmatisme kini mempunyai pilihan alternatif, terutamanya jika tidak sesuai untuk rawatan laser,” katanya.

Menurut beliau, antara kelebihan kaedah ini adalah ia dapat membantu pesakit yang mengalami rabun atau astigmatisme yang teruk dan boleh dikeluarkan kembali jika pesakit tidak gembira dengan hasilnya.

Tambahnya, kanta tersebut dihasilkan daripada bahan dipatenkan yang dikenali sebagai collamer yang mengandungi kolagen, tidak memerlukan pengurusan rapi dan tidak menyebabkan rasa kurang selesa pada mata pesakit.

Aeschlimann turut mendakwa pesakit akan dapat melihat dengan jelas sebaik sahaja selepas pembedahan selesai.

“Prosedur ini bukannya baru dan sudah hampir 10 tahun digunakan. Ia semakin popular di kalangan pesakit, terutamanya di kalangan mereka yang tidak sesuai menjalani pembedahan laser.

“Ini amat sesuai untuk rantau Asia yang mempunyai banyak kes rabun jauh yang teruk, bagi pesakit yang ingin atau perlu berhenti menggunakan cermin mata dan kanta lekap,” ujarnya.

Dakwa beliau, lebih 80 peratus pesakit mendapat tahap penglihatan sempurna 6/6, ditambah pula ianya tidak kekal dan boleh dikeluarkan kembali kelak.

Jelasnya, sehingga kini terdapat kira-kira 150,000 prosedur ICL dijalankan dengan hanya empat komplikasi jangkitan dilaporkan. Jangkitan bakteria jarang berlaku dan bukannya datang dari kanta atau alat pembedahan tetapi dari persekitaran. Jangkitan bakteria boleh dirawat dengan menggunakan antibiotik.

Aeschlimann turut memaklumkan prosedur berkenaan masih kurang popular berbanding pembedahan laser memandangkan ia hadir selepas bertahun-tahun kemunculan prosedur laser.

“Dari penilaian tahap penglihatan, terdapat pesakit yang mendapat tahap visual yang lebih berkualiti dan tajam berbanding penggunaan laser.

“Tahap kepuasan pesakit yang menjalani prosedur ICL juga amat tinggi dan menjadi pilihan di kalangan mereka tidak mahukan perubahan kekal pada mata,” jelasnya.

* ICL di Malaysia

Prosedur penanaman kanta ICL diperkenalkan di negara ini oleh Vista Laser Eye Centre Sdn. Bhd. (Vista) pada 2005, dengan lebih 100 pembedahan ICL dijalankan sehingga kini. Mengikut anggaran Vista, kira-kira 20 peratus pesakit dengan penglihatan kabur didapati tidak sesuai untuk pembedahan laser, kerana masalah ketebalan kornea atau melangkaui batasan penggunaan laser bagi memulihkan tahap penglihatan. Kegagalan mendapat rawatan refraktif dikhuatiri akan memberi kesan kepada pelajaran, peluang kerja dan kualiti hidup sesetengah pesakit.

Ketua Perunding dan Pakar Bedah Oftalmologi Vista, Dr. Aloysius Joseph Low menjelaskan prosedur tersebut kini turut dijalankan pusat mata lain sebagai pilihan untuk pesakit dan alternatif bagi yang tidak sesuai untuk pembedahan laser.

“Prosedur ini tidak jauh bezanya dengan pembedahan katarak. Setiap kanta dihasilkan di Switzerland mengikut keperluan mata individu pesakit.

“Teknologi berkenaan dibawa masuk bagi memenuhi keperluan pesakit yang tidak sesuai untuk pembedahan laser mata, di samping keyakinan tinggi terhadap produk yang dihasilkan negara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Low turut menunjukkan bagaimana kaedah pembedahan ICL dijalankan ke atas seorang pesakit berusia 30 tahun.

“Terdapat persoalan mengapa tidak digantikan terus kanta asal pesakit dengan kanta ICL. Ini kerana kanta semula jadi pesakit belum mengalami sebarang masalah seperti katarak. Oleh itu, ia tidak perlu dibuang.

“Bagaimanapun, jika pesakit mengalami katarak kelak, kanta asal serta kanta ICL boleh dikeluarkan dan digantikan dengan hanya satu kanta (dua dalam satu) untuk memberikan tahap penglihatan optimum kepada pesakit,” ujar beliau.

Dengan adanya pilihan rawatan refraktif sama ada laser atau penanaman kanta, semua pengguna cermin mata atau kanta lekap kini mampu mempunyai penglihatan ‘tidak terbatas’. Namun, ini tidak bermakna tiada lagi individu yang menggunakan cermin mata kerana sesetengah daripada mereka masih selesa berkaca mata.

Pemakaian cermin mata dan kanta lekap juga sudah menjadi begitu sinonim dengan kehidupan sehinggakan ramai yang memilih untuk terus menggunakannya. Dengan ini sekurang-kurangnya diharapkan dapat mendedahkan tentang pilihan yang ada jika suatu hari kelak timbul keinginan atau keperluan untuk mereka ‘mengembalikan kebebasan penglihatan’.

No comments:

Post a Comment