Thursday, January 1, 2009

Bersihkan persekitaran, hindar Chikungunya

CHIKUNGUNYA merupakan sejenis penyakit viral disebarkan menerusi jangkitan akibat gigitan nyamuk aedes yang turut membawa virus demam denggi dan demam kuning.

Penyebaran Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania, Afrika Timur pada 1953. Sejak itu, epidemik ini berlaku di Filipina (1954, 1956 dan 1968), Indonesia (1973), Thailand, Kemboja, Vietnam, India, Myanmar, Sri Lanka dan Indonesia.

Bermula pada 2003, wabak ini telah berleluasa di kepulauan Lautan Pasifik termasuk Madagascar, Comoros, Mauritius dan La Reunion, dengan jumlah kes yang semakin meningkat terutama selepas bencana tsunami pada Disember 2004.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, kes pertama di Malaysia dilaporkan berlaku di sebuah kawasan di Klang, Selangor pada tahun 1998 dan tidak lama selepas itu turut membabitkan kawasan perumahan di Perak.

Katanya, meskipun jumlah kes Chikungunya semakin menurun di negara ini namun pihaknya masih meneruskan pemantauan secara berkala sebelum mengesahkan negara benar-benar bebas daripada penyakit itu.

Jumlah kes terkumpul sepanjang April sehingga minggu lalu adalah sebanyak 3,984 kes manakala sehingga 23 Disember lalu sebanyak 4,034 kes telah dicatatkan.

‘‘Kami menerima antara 100 hingga 150 laporan mengenai kes Chikungunya dalam seminggu dan minggu lalu dicatatkan 119 kes baru,’’ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Dr. Hassan, setiap kawasan perumahan di negara ini tidak terkecuali daripada jangkitan penyakit Chikungunya kerana ia dibawa oleh dua jenis nyamuk iaitu Aedes Albopictus dan Aedes Aegypti yang turut menyebarkan virus demam denggi.

Penyakit demam Chikungunya merupakan penyakit endemik tercetus daripada virus Chikungunya jenis Genus Alphavirus dalam keluarga Toganiridae.

Terdapat dua jenis trend virus jangkitan Chikungunya iaitu Afrika Barat dan Afrika Selatan. Kedua-dua jenis rantaian virus ini mengambil masa antara lima hingga tujuh hari untuk mengeram.

Setelah itu barulah simptom penyakit mula menyerang pesakit kira-kira tiga hingga 10 hari manakala tempoh pemulihan pula memakan masa seminggu lagi.

‘‘Pesakit lazimnya tidak akan mengalami sebarang perubahan pada minggu pertama virus itu mengeram namun selepas itu mereka akan mula demam, ruam dan sakit badan apabila virus itu mula menyerang.

‘‘Pada waktu ini juga, antibodi badan akan mula bertindak untuk melawan virus berkenaan sebelum bermulanya proses pemulihan,’’ jelas beliau.

Simptom virus Chikungunya boleh disalah anggap dengan manifestasi klinikal menyerupai virus denggi antaranya:

lDemam panas mengejut sehingga 39 darjah Celsius.

lSakit teruk pada sendi (artritis atau atralgia) terutamanya di hujung jari, pergelangan tangan dan buku lali, atau rasa ngilu pada tulang.

lRuam pada kaki, tangan dan badan,

lSakit kepala berserta demam (antara satu hingga tujuh hari, kebiasaannya lima hari).

lInsomnia.

lKesejukan, menggigil.

lKurang selera makan.

lPerut meragam.

lMata merah, sedikit fotofobia (sensitif kepada cahaya), loya dan muntah.

lSeperti penyakit arbovirus lain, jangkitan Chikungunya juga mungkin tidak menunjukkan sebarang gejala (asimptomatik) atau menyebabkan kesakitan yang teruk dan gejala yang berpanjangan.

Sehingga kini, belum ada kes mengenai pendarahan atau kematian akibat Chikungunya pernah dilaporkan di Malaysia. Pun begitu, sesetengah pesakit biasanya mengalami gejala berpanjangan bergantung kepada usia pesakit berkenaan.

Contohnya, pesakit yang berumur boleh mengalami kesan kesakitan berulang terutama pada bahagian sendi sehingga beberapa bulan.

Seperti kebanyakan penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus, Chikungunya tidak mempunyai rawatan khusus. Selalunya, rawatan akan diberikan mengikut simptom klinikal yang dialami oleh pesakit berkenaan.

Kebanyakan kes memerlukan rawatan pesakit luar disebabkan tiada vaksin.

Walaubagaimanapun, orang ramai yang mengalami gejala penyakit ini digalakkan agar mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

Tangani sakit, sengal di tempat kerja

SELAMA lapan jam sehari dan lima hari seminggu bekerja menghadap komputer, sudah pasti seseorang itu akan mengalami sakit dan sengal pada leher dan bahu. Sakit pada leher biasanya akan melarat ke bahagian bahu. Ini kerana postur kedudukan yang salah. Statistik menunjukkan iaitu bilangan pekerja kolar putih yang mempunyai bidang kerja seperti itu sering mengalaminya dan kian meningkat di seluruh Asia.

Dalam satu kajian khas yang dilakukan oleh jenama kelegaan sakit dan sengal badan, Tiger Balm di Malaysia mendapati:

l25 peratus daripada pekerja kolar putih mengalami sakit dan sengal pada leher dan bahu setiap hari.

lDaripada sekumpulan peserta kajian berusia 18 hingga 60 tahun, 35 peratus daripada mereka menderita sakit dan sengal pada leher dan bahu adalah berusia antara 20 hingga 29 tahun.

lHampir 50 peratus daripada pekerja kolar putih yang menderita sakit dan sengal pada leher dan bahu menggunakan ubat penenang bagi meredakan sakit dan 43 peratus daripada mereka tidak berpuas hati dengan hasilnya.

lLebih satu perlima daripada wanita yang menyertai kaji selidik menderita sakit dan sengal pada leher dan bahu setiap hari.

lMasa yang terlalu panjang atau aktiviti fizikal yang berlebihan di tempat kerja atau rumah merupakan sebab utama sakit dan sengal pada leher dan bahu. Malah mereka juga didapati menderita sakit dan sengal pada leher dan bahu dalam senyap, sambil mengharapkan masalah ini akan sembuh dengan sendiri.

Sementara itu satu kajian yang dijalankan oleh Tiger Balm pada tahun 2004 mendedahkan bahawa mereka yang menderita sakit dan sengal pada leher dan bahu tidak berusaha untuk mendapatkan penyelesaian berbanding mereka yang menderita sakit lain. Masalah ini jika dibiarkan untuk tempoh yang lama boleh memudaratkan tubuh badan dan kesihatan, selain mengurangkan produktiviti di tempat kerja.

Namun masalah sedemikian boleh dibantu di mana hanya 10 peratus daripada rasa sakit memerlukan rawatan khusus, sementara yang bakinya boleh diatasi dengan cara yang mudah.

Ini kerana anda kini boleh menikmati kelegaan yang cepat dan berkesan dengan Krim Tiger Balm Leher dan Bahu baharu.

Pelancaran produk berkenaan baru-baru ini, dirumus khas untuk melegakan sakit dan sengal pada leher dan bahu setiap rakyat Malaysia tua atau muda, terutamanya bagi golongan muda profesional yang saban hari menghabiskan masa di meja komputer.

Pengarah Eksekutif Haw Par Corporation Ltd., A K Han berkata, inilah masa yang paling sesuai untuk memperkenalkan produk sehebat ini yang dapat memberi kelegaan kepada ramai pengguna yang menderita sejak sekian lama. Malah ia turut menyumbang kepada peningkatan hidup dan produktiviti kerja sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kami kini cuba keluar daripada imej Tiger Balm tradisional dengan penampilan inovatif dalam usaha untuk memenuhi keperluan pengguna lelaki dan wanita yang lebih muda. Krim Tiger Balm Leher dan Bahu menyingkirkan ciri rupa, rasa dan bau ubat Tiger Balm, namun mengekalkan manfaat kelegaan dan penyembuhan yang telah menjadikan Tiger Balm satu nama isi rumah.

‘‘Siapa yang akan terfikir bahawa satu hari nanti produk Tiger Balm akan diisi dalam pek, tanpa rasa melekit dan mempunyai haruman yang menyenangkan.

‘‘Dengan menggunakan Krim Tiger Balm Leher dan Bahu, pengguna mampu mengendur dan melegakan otot-otot mereka yang letih dan tegang. Mereka dapat menikmati kelegaan daripada sakit dan sengal walau di mana jua mereka berada. Ini membantu mereka meneruskan pekerjaan dengan selesa,’’ katanya semasa pelancaran produk tersebut baru-baru ini.

Krim Tiger Balm Leher dan Bahu boleh didapati di semua farmasi terkemuka, kedai penjagaan kesihatan dan diri, pasar raya dan kedai ubat pada RM16.90 satu pek.

Kehamilan terancang kesihatan reproduktif

PENCEGAH kehamilan atau kontrasepsi ialah satu proses menghalang persenyawaan atau mencegah atau memperlambatkan percantuman sperma dan telur. Kontrasepsi kini semakin menjadi trend masyarakat untuk merancang keluarga. Ia bukan sahaja memberi kebaikan kepada keluarga dan komuniti untuk membina kesihatan reproduktif.

Kesihatan reproduktif adalah keadaan sihat dari segi fizikal, mental dan sosial dan bukan hanya kerana tiada penyakit dalam semua perkara yang berkaitan dengan sistem reproduktif, fungsi dan prosesnya.

Malaysia kini mempunyai seramai 14.05 juta penduduk wanita di mana 7.59 juta terdiri daripada mereka yang berumur 15 hingga 49 tahun dan sepertiga jumlah penduduk Malaysia berumur 10 hingga 24 tahun.

Dalam hal ini, perancang keluarga penting kerana dapat menyelamatkan kira-kira 175,000 wanita setiap tahun, mengurangkan sebanyak 2.7 juta kematian bayi, mengurangkan kematian 1.8 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun, serta satu pertiga daripada kematian yang berkaitan kehamilan dan kelahiran dapat dielakkan. Namun, masyarakat tidak boleh memandang negatif tentang penggunaan kontrasepsi.

Walaupun ia dapat mengurangkan gejala sosial komuniti namun ia sebenarnya memberi kesan positif terhadap pembangunan keluarga. Pencegah kehamilan dapat memberi kebaikan kepada wanita, pasangan, anak-anak dan komuniti.

Jika anda tidak menggunakan apa-apa agen atau alat bagi tujuan berkenaan, adakah anda menimbangkan untuk menggunakannya selepas ini?

Sudah tentu, penggunaan kontraseptif menjanjikan keputusan yang lebih baik jika dibandingkan dengan pasangan yang tidak mengamalkan sebarang kaedah.

Menurut Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Harlina Halizah Siraj, kehamilan yang diingini dapat membina keluarga serta komuniti yang sejahtera.

“Sekarang terdapat pelbagai pilihan pencegah kehamilan dan digunakan mengikut kesesuaian serta pilihan wanita,” katanya dalam sidang media anjuran Weber Shandwick di Wisma LYL, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Tambahnya, pemilihan kaedah pencegah kehamilan yang terbaik bergantung kepada beberapa faktor seperti kepercayaan, tahap kesihatan wanita, umur wanita, kekerapan hubungan seks dan kehendak pasangan suami isteri untuk mendapatkan anak.

“Ia mungkin berubah dari semasa ke semasa sama ada mengikut kesesuaian cara hidup pasangan suami isteri, keberkesanan kaedah, ciri keselamatan dan kemampuan untuk mengamalkan kaedah tersebut.

Namun, apa yang penting, penggunaannya harus betul (seperti dalam arahan penggunaan) dan konsisten,” jelasnya.

Bagi tujuan ini juga, mana-mana pasangan suami isteri yang ingin merancang kelahiran anak dan mencegah kehamilan boleh mendapatkan khidmat tersebut dengan berjumpa doktor, ahli farmasi dan jururawat di hospital dan klinik kerajaan ataupun swasta.

Dr. Harlina memberitahu, keadaan keluarga masyarakat hari ini juga mempengaruhi trend penggunaan pencegah kehamilan.

“ Keadaan keluarga masa kini terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kebanyakan wanita dan lelaki hari ini berpendidikan tinggi, lewat kahwin dan mempunyai saiz keluarga yang kecil. Di samping itu, peningkatan penceraian keluarga serta poligami juga berlaku selain daripada aktiviti seksual remaja yang semakin meningkat,” tambahnya.

Sementara itu, pencegah kehamilan juga dapat membendung masalah pembuangan bayi yang semakin menular di kalangan masyarakat.

“Kandungan yang tidak diingini menjadi faktor pembuangan bayi. Oleh itu, kehamilan perlu dirancang dan diingini. Maka pasangan akan merancang dengan baik sehingga tempoh kelahiran kelak,” jelasnya.

Selain daripada kaedah lazim untuk mengelak kehamilan seperti mengelakkan daripada melakukan persetubuhan, azal (di mana, suami mencabut zakar dari faraj sebelum pengeluaran air mani (ejakulasi). Kaedah ini dikatakan diamalkan sejak zaman dahulu kala lagi), kaedah semula jadi (pasangan suami isteri yang memilih kaedah ini harus memastikan tempoh kesuburan wanita dan kondom, terdapat banyak lagi pencegah kehamilan yang lebih efektif dan mudah.

Dr. Harlina memberitahu, pencegah kehamilan yang ideal ialah yang selamat, efektif, yang dapat diterima masyarakat, tidak mahal, mudah melindungi daripada masalah kesihatan yang lain seperti kanser ginekologi.

“Antara yang terbaru tentang pencegahan kehamilan ialah kontrasepsi terkini dapat membangunkan keturunan baru, diperluaskan secara lisan, pengenalan pilihan dan kajian tentang hormon lelaki dan pencegah kehamilan,” jelasnya.

Secara lazimnya, keluarga akan lebih biasa dengan penggunaan pil pencegah kehamilan atau Combined Oral Contraceptive Pills (COCs)

Ia merupakan kombinasi estrogen yang terdiri daripada ethinyl estradiol (EE) dan estradiol (E2).

Pil-pil mengandungi hormon-hormon estrogen dan progestin atau mengandungi hanya hormon progestin.

Malah, pil kombinasi hormon dikatakan dapat mencegah penyakit inflamasi pelvik dan kanser ovari dan endometrial.

Pil jenis ini selamat bagi kebanyakan wanita kecuali wanita yang merokok atau yang mempunyai sejarah keluarga yang berpenyakit jantung

“Terbaru dan masih dalam kajian ialah NOMAC-E2 iaitu estrogen semulajadi yang pertama mengandungi COC. Ia merupakan inovasi pertama dalam kandungan hormon sejak pengenalan pil pencegah kehamilan sejak tahun 60-an lagi,” jelasnya.

Terdapat juga pil perancang yang mudah iaitu lanjutan dos COCs yang kebiasaannya digunakan ketika menunaikan haji.

“Ia digunakan dalam tempoh tiga bulan dan berfungsi dalam purata 91 hari. Cara pengambilan, aktif pil (warna merah samar) akan diambil sembilan hari untuk 84 hari, diikuti tujuh hari untuk pil berwarna putih dan selebihnya menghabiskan pil yang tidak aktif.

Kitaran haid akan berlaku setiap tiga bulan iaitu secara puratanya, empat kali setahun,” jelasnya.

Dr. Harlina menambah, selain pengambilan pil, ramai wanita yang memilih saluran lain.

“Ini dikatakan lebih selamat kerana ia tidak melalui sistem badan dan hati. Kaedah seperti suntikan, tampal, IUCD, gelang faraj, implan dan pil perancang lelaki. Pengambilannya bergantung kepada pilihan keluarga,” jelasnya.

Kesimpulannya, pembangunan baru teknologi pencegah kehamilan masing diteruskan untuk membina komuniti dunia yang sihat dan sejahtera.

“Lebih langkah yang lebih efektif diperlukan untuk mendidik golongan wanita, suami dan keluarga mereka tentang kesedaran serta kepentingan pencegah kehamilan,” jelasnya.

Alternatif Pencegah Kehamilan

Gabungan suntikan dan hormon pencegah kehamilan.

* Dilakukan setiap bulan pada hari ke-28 hingga 30 hari.

* Mengandungi lima miligram estradiol cypionate dan 25 miligram medroxyprogesterone acetate

* Jika sesuai untuk wanita, seseorang itu kurang hadir haid atau tidak mengalaminya langsung.

Jenis tampalan iaitu tompok transdermal

* Ia merupakan kombinasi estrogen dan progestin yang memberi tindak balas terhadap kulit secara perlahan.

* Kaedah ini belum lagi digunakan di Malaysia.

* Cara ini lebih mudah dan dianggap sebahagian daripada kulit (bagi golongan Islam yang ingin mandi hadas besar).

* Penggunaan secara mingguan iaitu untuk tempoh tiga minggu dan satu minggu lagi tampalan dibuka

* Tidak efektif untuk wanita yang melebihi berat 90 kilogram

Gelang faraj

* Inovasi pencegah kehamilan ini semakin popular dan lebih daripada sejuta wanita menggunakannya di Eropah.

* Wanita akan memasukkan ke dalam faraj sendiri ia mudah digunakan kerana boleh digunakan sekali sebulan.

* Mengandungi tahap kombinasi hormon pencegah kehamilan yang rendah.

* Bagi wanita yang ingin merancang keluarga, kaedah ini mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi.

* Gelang faraj juga merupakan kawalan kitaran haid yang cemerlang.

Kebaikan penggunaan gelang faraj

* Ia mudah, selesa dan, ringkas dan selamat.

* Posisi yang tepat bukan menjadi perkara yang penting untuk memastikan dia lebih efektif.

* Gelang tersebut merupakan rahsia dan tiada sesiapa yang mengetahui seorang wanita akan menggunakannya dan lelaki juga tidak perasan atau merasainya ketika melakukan hubungan seks.

l Kaedah ini juga tidak memerlukan khidmat nasihat doktor.

l Ia juga boleh digunakan secara tetap atau dalam tempoh yang pendek

l Ketika melakukan seks, wanita tidak perlu berasa takut dan boleh melakukannya secara spontan.

Namun, dalam ada itu terdapat kesan buruk akibat penggunaan gelang faraj antaranya sakit kepala, berat badan bertambah atau sebaliknya, loya, perubahan perasaan, lelehan faraj dan jangkitan faraj.

Antara penyebab kenapa penggunaan gelang faraj kurang berkesan ialah wanita menggunakannya lebih tiga minggu, ia berada di luar faraj (tidak berada tepat di rahim) sebelum menggunakannya, gelang faraj terdedah dengan cahaya matahari dan suhu yang tinggi

Implan

* Implan merupakan hormon progestin sintetik terdiri daripada enam kapsul kecil yang fleksibel (sebesar batang mancis).

* Terkini wanita hanya menggunakan dua kapsul kecil.

* Kapsul-kapsul ini ditanam di bawah kulit lengan bahagian atas.

* Ia boleh mencegah kehamilan secara berkesan selama lima tahun.

* Bagi wanita yang memilih kaedah ini, dianggarkan sejumlah 0.1 peratus (1 dalam 1,000) akan mengalami kehamilan yang tidak dirancang dalam tahun yang pertama.

Intrauterine Contraceptive Devices (IUCD)

* Alat anjal berbentuk ‘T' ini dimasukkan ke dalam rahim oleh doktor bagi mengganggu pergerakan sperma dalam ruangan uterin.

Hormon kontraseptif lelaki (MHC)

* Masih dalam tempoh percubaan.

* MHC digunakan untuk menghalang pembentukan sperma dan kaedah ini amat sukar kerana ia boleh menghilangkan sifat kelakian.

* Sebagai tambahan, lelaki perlu mengambil hormon lain untuk mengekalkan sifat lelaki

* MHC akan diambil melalui suntikan sekali setiap lapan minggu.

Rawatan Osteoartritis

SEHINGGA kini masih belum ada rawatan yang betul-betul dapat menyembuhkan osteoartritis sementara ubat-ubat yang ada sekarang cuma dapat melambatkan proses degenerasi (kemerosotan) sendi.

Ini supaya pembedahan gantian sendi dapat dielakkan atau pun setidak-tidaknya menolong menangguhkan pembedahan tersebut supaya ia dilakukan apabila pesakit sudah tua dan tidak mempunyai aktiviti harian yang aktif lagi.

Rawatan untuk penyakit osteoartritis dapat diklasifikasikan kepada tiga kategori utama. Rawatan farmakologi adalah pilihan pertama untuk menangani osteoartritis.

Rawatan bukan farmakologi pula merupakan rawatan sokongan dan tambahan. Pembedahan adalah kategori yang ketiga, biasanya menjadi pilihan terakhir sekiranya kedua-dua rawatan awal tadi sudah tidak berkesan.

Rawatan farmakologi

Analgesia atau ubat penahan sakit adalah rawatan farmakologi yang merupakan tunggak untuk osteoartritis.

Analgesia bukan opioid seperti paracetamol dan acetaminophen adalah jenis analgesia ringan untuk osteoartritis peringkat awal.

Ubat antiradang bukan steroid (NSAID) pula merupakan jenis kumpulan analgesia lain untuk osteoartritis.

Kebanyakan doktor lebih cenderung untuk terus memberi preskripsi NSAID kerana ia juga mempunyai fungsi untuk melegakan keradangan di samping mengurangkan sakit akibat osteoartritis.

Ubat ini murah dan berkesan untuk osteoartritis tahap awal, tetapi penggunaan jangka panjang tidak digalakkan terutamanya bagi golongan warga emas.

Kesan sampingannya seperti gastritis dan pendarahan gastrik boleh memudaratkan pesakit-pesakit dari golongan ini.

'Cyclooxygenase-2 inhibitor' (COX-2 inhibitor) adalah jenis kumpulan ubat penahan sakit terkini yang sekarang boleh didapati di kebanyakan hospital-hospital besar di negara kita.

Ubat ini adalah lebih sesuai untuk golongan warga emas kerana kesan sampingan seperti yang dinyatakan tadi adalah kurang berbanding dengan ubat jenis NSAID.

Namun begitu, seperti analgesia yang lain, pesakit hendaklah berhati-hati dengan pengunaan berterusan jangka panjang.

Pesakit-pesakit yang juga mempunyai masalah jantung dan darah tinggi hendaklah berbincang dengan doktor sebelum menggunakan analgesia jenis ini.

Opiod adalah kumpulan analgesia yang agak kuat. Ia membuat banyak kesan sampingan yang kebanyakannya tidak sesuai untuk warga emas dan merupakan jenis analgesia terakhir yang hanya diberikan untuk osteoartritis tahap teruk.

Bagaimanapun, jika seseorang pesakit itu sudah terpaksa diberikan opiod untuk menahan sakit, ini bermakna pembedahan gantian sendi adalah sangat perlu kerana tahap osteoartritis pesakit terbabit sudah mencapai tahap yang teruk.

Selain dari ubat penahan sakit jenis oral, ada juga ubat jenis sapuan yang diperbuat dari gel atau krim dan boleh digunakan untuk kelegaan tambahan. Ubat-ubat ini selalunya tidak lagi berkesan untuk peringkat osteoartritis yang teruk.

Ubat-ubat baru seperti glucosamine, chondroitin dan diacerin adalah termasuk di dalam kategori ubat-ubat tambahan dan sokongan yang boleh di ambil bersama dengan analgesia. Ketiga-tiganya bertindak dan mempunyai fungsi yang berlainan.

Glucosamine bertindak dengan mengembalikan cecair sendi dan membantu melicinkan pergerakan sendi. Secara tidak langsung, ia juga mengurangkan sakit sendi kerana geseran.

Chondroitin pula boleh menahan kerosakan lanjut rawan jika diambil pada peringkat awal osteoartritis sementara Diacerin adalah untuk mengurangkan radang di sekitar sendi di samping dikatakan boleh menolong mengurangkan sakit akibat osteoartritis.

Setakat ini, kesan sampingan dari ubat- ubat sokongan yang disebut tadi tidak begitu teruk dan boleh diterima oleh kebanyakan pesakit.

Bagaimanapun, segelintir pesakit yang mengambil Diacerin boleh mendapat cirit-birit yang ringan di dalam masa beberapa hari selepas ubat ini ambil.

Di samping ubat sokongan yang boleh diambil secara oral, ubat jenis suntikan intra-artikular seperti asid hylarunik juga boleh digunakan untuk menambah cecair pada sendi yang bermasalah.

Suntikan ke dalam sendi ini boleh memberikan kesan yang cepat dengan mengurangkan sakit dan mengurangkan bunyi geseran (crepitus) akibat dari osteoartritis.

Sebelum ini, pesakit perlu mendapat sekurang-kurangnya tiga suntikan setiap minggu untuk satu rawatan penuh bagi satu-satu sendi.

Bagaimanapun, kini terdapat produk asid hylarunik yang hanya perlu disuntik sekali sahaja bagi memberikan kesan hampir sama.

Suntikan ini hendaklah dilakukan oleh doktor atau pakar otopedik bagi mengelakkan dari masalah asid hylarunik tidak disuntik dengan betul ke dalam sendi.

Rawatan bukan farmakologi dan sokongan

Kategori rawatan ini agak luas skopnya dan merangkumi semua aspek perubatan sama ada tradisional, alternatif ataupun yang melibatkan pemakanan.

Secara umumnya, rawatan-rawatan ini tidak banyak mengubah perkembangan penyakit tersebut.

Walaubagaimanapun, rawatan-rawatan sebegini berguna sebagai rawatan tambahan, bergantung kepada kecenderungan individu.

Ada pesakit yang mendapati rawatan-rawatan seperti sebegini menolong melegakan kesakitan dan rasa kaku sendi akibat osteoartritis.

Fisioterapi merupakan rawatan bukan pharmakologi yang biasa digunakan di hospital untuk rawatan osteoartritis.

Ia bertujuan untuk menguatkan otot-otot di sekitar sendi terbabit di samping memberikan rangsangan untuk mengurangkan kesakitan.

Fisioterapi sendiri boleh dibahagikan kepada penggunaan alat-alatan dan jenis-jenis senaman.

Jenis alat-alatan yang boleh membantu rawatan osteoartritis adalah diatermi gelombang pendek (SWD), terapi ultrasound, Transcutaneous Electrical Nerve Stimulation (TENS) dan sebagainya.

Jenis-jenis senaman khas untuk pesakit-pesakit osteoarthritis pula bertujuan menguatkan otot-otot di sekitar sendi yang terlibat. Biasanya senaman ini hanya sesuai untuk osteoartritis tahap awal atau sederhana.

Selain itu, pesakit juga boleh melakukan senaman lain seperti berenang atau menunggang basikal yang memberikan kesan yang baik untuk sendi.

Senaman-senaman ringan seperti Tai Chi dan senaman tradisonal yang lain juga dapat menolong melonggarkan sendi-sendi yang kaku akibat osteoartritis.

Selain senaman, pesakit-pesakit juga perlu mengambil berat tentang pemakanan mereka. Oleh kerana osteoartritis ada kaitan dengan obesiti, pengurangan berat badan dapat membantu mengurangkan tanda-tanda penyakit tersebut.

Pada peringkat awal, pengurangan berat badan lebih dari lima kilogram (kg) dapat memberikan impak positif seperti mengurangkan sakit sendi dan mengurangkan tanda-tanda lain osteoartritis.

Secara tidak langsung, ia dapat melambatkan proses kemerosotan sendi akibat dari impak berat badan yang berlebihan.

Rawatan-rawatan alternatif lain seperti Ayuverda, akupuntur, Shiatsu, jenis-jenis urutan dan sebagainya turut dikatakan mampu mengurangkan gejala-gejala osteoartritis.

Pengunaan herba, gamat ataupun produk-produk tradisional yang lain boleh dicuba bersama rawatan dari hospital tetapi hendaklah mendapatkan nasihat dari doktor-doktor yang berkenaan terlebih dahulu.

Pembedahan

Artroskopi, osteotomi (pembetulan tulang), artrodisis dan pembedahan gantian tulang (artroplasti) adalah contoh-contoh pembedahan yang boleh dilakukan untuk pesakit-pesakit osteoarthritis.

Pembedahan-pembedahan ini bergantung kepada keperluan individu dan tahap penyakit osteoartritis yang dihadapi.

Di peringkat awal, pembedahan artroskopi ataupun osteotomi boleh dilakukan sebagai langkah untuk melambatkan keperluan untuk pembedahan arthroplasti.

Pembedahan artrodisis pula sudah jarang sekali dilakukan dan tidak begitu popular di kalangan pesakit-pesakit kerana sendi-sendi yang terlibat terus dikakukan dari sebarang pergerakan.

Pembedahan artroplasti ialah pembedahan di mana sendi-sendi yang rosak ditukar dengan sendi-sendi tiruan (prostesis).

Ianya adalah jalan terakhir untuk rawatan osteoarthritis dan merupakan rawatan piawaian yang diterima oleh majoriti doktor-doktor yang merawat osteoartritis tahap teruk.

Pembedahan artroplasti ini biasanya dilakukan untuk sendi-sendi yang besar seperti lutut, pinggul dan bahu.

Kebanyakan pesakit tidak mendapat penerangan yang jelas dan tepat mengenai pembedahan ini menyebabkan ramai yang menolak apabila rawatan ini ditawarkan.

Bagaimanapun, lebih 90 peratus daripada yang telah menjalani pembedahan ini berpuas hati dengan hasil pembedahan dan mendapati sakit sendi telah berkurangan. Di samping itu, ia dapat menghasilkan sendi-sendi yang mempunyai julat pergerakan yang hampir normal.

Harga prostesis untuk pembedahan artroplasti ini bergantung kepada jenis sendi dan bahan yang digunakan. Sebagai contoh, harga prostesis untuk lutut bermula dari RM6,000 dan mungkin agak mahal bagi sesetengah pesakit.

Walaupun begitu, manfaat dari pembedahan ini banyak. Selepas pembedahan, pesakit-pesakit akan mendapati penggunaan analgesia akan berkurangan secara mendadak.

Selain itu, aktiviti-aktiviti harian yang dahulunya tidak dapat dilakukan selepas mendapat osteoartritis sudah tidak begitu terbatas lagi.

Memandangkan tahap jangka hayat penduduk Malaysia yang semakin meningkat, pembedahan ini juga dapat menolong pesakit-pesakit osteoartritis yang teruk dari menderita untuk satu jangka masa yang panjang.

Seperti kebanyakan pembedahan yang lain, pembedahan artroplasti ini ada risikonya. Jangkitan kuman, darah beku di kaki, radang paru-paru adalah antara risiko-risiko yang boleh terjadi selepas pembedahan tersebut dijalankan.

Bagaimanapun, kebarangkalian untuk mendapat risiko-risiko ini adalah sangat kecil. Langkah-langkah pengawasan seperti antibiotik profilaklis, ubat pencair darah dan mesin ankle foot pump dapat mengurangkan lagi risiko-risiko berkenaan.

Hampir kesemua hospital-hospital besar awam di Malaysia kini ada menawarkan khidmat untuk melakukan pembedahan tersebut. Hospital-hospital swasta juga menawarkan perkhidmatan sama dengan harga yang berpatutan.

Diagnosis yang tepat dan pengesahan osteoartritis adalah langkah yang paling penting sebelum rawatan dapat dimulakan.

Walaupun sehingga kini tiada rawatan yang boleh menyembuhkan osteoartritis, namun banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menolong pesakit menghadapi penyakit tersebut.

Untuk osteoartritis peringkat awal, perubahan gaya hidup seperti mengurangkan berat badan, pemakanan yang sihat dan bersenam dapat menolong pesakit-pesakit menangani gejala-gejala osteoarthritis.

Di samping itu, ubat-ubat yang ada perlulah diambil mengikut kesesuaian dan seperti yang disarankan oleh doktor. Pembedahan artroplasti adalah rawatan yang standard untuk osteoartritis tahap teruk. Ia semakin mendapat perhatian dari pesakit-pesakit kerana sebelum ini pembedahan artroplasti dan manfaat-manfaat dari pembedahan tersebut tidak mendapat pendedahan yang sewajarnya.

Di samping mengikut arahan doktor, pesakit-pesakit juga perlu menambah pengetahuan dan mengikuti perkembangan semasa tentang osteoartritis.

Anda boleh bertanya mengenai perkembangan terbaru ini kepada doktor-doktor anda semasa rawatan lanjutan atau mendapatkan informasi berkenaan osteoartritis dari media massa mahupun dari internet.

Sering berasa letih?

JIKA anda sering berasa letih, ia mungkin berpunca dari jantung dan koenzim Q10 (CoQ10) yang diperlukannya. Saiz jantung adalah lebih kurang sebesar genggaman tangan dan ia terdiri daripada tisu otot khas.

Tisu otot jantung adalah sesuatu yang menakjubkan dan hanya dijumpai pada satu tempat sahaja iaitu di jantung.

Bukan seperti dua jenis otot yang lain, otot boleh kawal dan otot luar kawal, otot-otot jantung tidak tahu berehat dan tidak pernah penat mengepam darah ke seluruh badan melalui saluran darah sepanjang 60,000 batu.

Jantung berdegup sebanyak kira-kira 72 degupan setiap satu minit dan 100,000 degupan setiap hari tanpa henti selagi anda masih hidup.

Ini merupakan suatu kerja keras dan untuk melaksanakan tugas ini jantung anda memerlukan tenaga yang amat banyak.

Mendapatkan tenaga tidak menjadi masalah semasa kita muda. Badan kita mengeluarkan semua tenaga yang diperlukan oleh jantung.

Tetapi apabila kita semakin tua, sistem enzim kita mula menjadi perlahan, dan tenaga yang dibekalkan kepada jantung semakin berkurangan.

Oleh itu, apabila usia kita mencecah 50-an dan 60-an, jantung kita secara mendadak mengalami kekurangan tenaga.

Apabila jantung anda tidak memperolehi tenaga yang mencukupi, sudah semestinya ia tidak akan mampu untuk mengepam darah dengan begitu cekap menerusi arteri, vena dan kapilari yang berjumlah sepanjang 60,000 batu itu.

Talian saluran darah ini menampung semua organ badan anda serta bertrilion sel dengan membekalkan oksigen dan nutrien-nutrien perlu sepanjang masa.

Sekiranya sel-sel dan organ-organ itu tidak memperolehi oksigen dan nutrien dengan mencukupi, gejala pertama yang akan berlaku ialah anda akan berasa letih dan tidak bermaya. Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, anda mungkin akan jatuh sakit.

Oleh itu, jika anda merungut bahawa anda tidak lagi bertenaga seperti dahulu, masalah anda mungkin berpunca daripada keadaan jantung yang tidak memperoleh tenaga dalam jumlah yang benar-benar diperlukannya.

l Tenaga jantung

Di dalam setiap sel yang bertrilion banyaknya itu, terdapat loji-loji penjana tenaga yang dikenali sebagai mitokondria.

Reaksi biokimia yang kompleks berlaku di dalam mitokondria untuk menukarkan makanan menjadi tenaga kimia (adenosine triphosphate atau ATP).

ATP merupakan sejenis molekul yang mengandungi tenaga tersimpan seolah-olah seperti sebuah bateri yang diperlukan oleh sel-sel untuk berfungsi dengan lancar.

Koenzim Q10 (CoQ10) merupakan komponen yang penting dalam proses pengeluaran ATP dan tanpa CoQ10 tenaga tidak akan dapat dikeluarkan.

Maka tidak hairanlah jika otot jantung, yang merupakan suatu tisu yang paling aktif, mengandungi 10 kali ganda lebih banyak CoQ10 berbanding mana-mana organ lain dalam badan.

Tetapi malangnya, pengeluaran CoQ10 oleh badan kita menjadi perlahan apabila kita semakin berumur.

Apabila umur anda mencecah 40-an, CoQ10 anda akan berkurangan sebanyak 40 peratus berbanding semasa anda berumur 20-an dahulu. Apabila umur anda mencecah 70-an pula, jumlah CoQ10 anda akan berkurangan sebanyak 60 peratus.

l Tisu otot jantung dan paras CoQ10

Semua sel memerlukan CoQ10 tetapi sesetengah daripadanya adalah lebih sensitif terhadap paras CoQ10 yang rendah. Beberapa jenis sel, tisu atau organ mungkin mengalami masalah kekurangan CoQ10 tetapi masih lagi dapat berfungsi dengan baik.

Namun demikian, bagi sel, tisu atau organ yang lain mungkin amat sensitif terhadap kekurangan CoQ10 walaupun ia cuma penurunan dalam kuantiti yang sedikit sahaja dan boleh membawa kepada kelemahan, keletihan dan beberapa penyakit yang lain.

Bahagian badan yang sensitif terhadap paras CoQ10 yang rendah ialah jantung, otak, sistem imun dan juga tisu-tisu gusi.

Organ yang paling sensitif terhadap paras CoQ10 yang rendah ialah jantung. Ini mungkin satu sebab mengapa penyakit jantung tersenarai sebagai antara penyakit pembunuh utama di dunia.

Tetapi ada berita baiknya; tenaga dapat dikembalikan kepada sel-sel tersebut dengan pengambilan suplemen CoQ10.

l Sumber CoQ10

Walaupun CoQ10 boleh didapati secara semulajadi di dalam banyak jenis makanan seperti daging lembu dan sayur-sayuran, jumlah CoQ10 di dalam makanan-makanan tersebut adalah sangat kecil. Adalah amat sukar untuk memperolehi lebih daripada lima miligram (mg) CoQ10 sehari daripada makanan kita.

Oleh itu, pengambilan suplemen CoQ10 disarankan bagi membekalkan keperluan tenaga optimum badan, terutamanya jantung.

Bentuk-bentuk tradisi suplemen CoQ10 adalah seperti serbuk CoQ10 yang diampaikan di dalam minyak soya dan dimasukkan ke dalam gel lembut, pil-pil yang berasaskan serbuk atau kapsul-kapsul gelatin keras yang diisikan dengan serbuk. Namun ia tidak mudah diserap oleh badan.

Masalahnya, saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, serta tidak larut air dan juga tidak begitu larut dalam lipid, membuatkan ia sukar untuk diserap oleh badan.

Dengan CoQ10 yang berbentuk Hydrosoluble yang diperbuat dengan menggunakan Teknologi BioSolv yang dipatentkan, saiz zarah CoQ10 itu dapat dikecilkan sehingga menjadi lebih kecil daripada saiz bakteria!

Pada umumnya, dalam keadaan yang sedemikian, lebih kecil saiz zarah berkenaan, maka lebih baik kadar penyerapannya. Bentuk CoQ10 Hydrosoluble juga memberikan lebih tiga kali ganda lebih tinggi penyerapan CoQ10 ke dalam badan berbanding suplemen-suplemen CoQ10 yang lain.

Oleh kerana ramai yang mempunyai paras CoQ10 yang rendah selepas melangkaui umur 35 tahun, maka mengambil suplemen CoQ10 adalah difikirkan sebagai suatu pelaburan yang amat berharga untuk mencapai kesihatan optimum di usia emas.

Ramai juga yang mengambil suplemen koenzim Q10 lazimnya melaporkan peningkatan mendadak dalam paras tenaga mereka sebaik sahaja mereka mula mengambil bentuk CoQ10 yang larut air.

Mereka dapat bermain lebih banyak golf, dapat kembali semula ke gelanggang tenis, dan selepas semua itu masih mampu meluangkan masa bersama anak dan cucu-cucu mereka.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan tidak seharusnya digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya mendapatkan nasihat pakar kesihatan.

Mengatasi stigma terhadap ketagihan opioid

STIGMA sosial atau tanggapan negatif masyarakat ialah satu komponen penting dalam usaha merawat ketagihan opioid.

Sama seperti kemudahan dan kemampuan mendapatkan rawatan, tanggapan negatif juga memberikan kesan ketara yang boleh menentukan sama ada seseorang individu akan keluar daripada kepompongnya untuk mendapatkan rawatan.

Tanggapan negatif yang dimaksudkan bukan setakat ejekan atau panggilan nama, ia turut membabitkan tingkah laku bukan berbentuk lisan, seperti mengelakkan, mengasingkan atau menolak kehadiran individu atau kumpulan penagih.

Walaupun berbentuk tidak ketara, stigma mempengaruhi masyarakat. Apabila dilihat dengan secara positif, tanggapan seperti ini mungkin menghalang kelakuan yang tidak diingini, memastikan orang ramai mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak diterima dalam masyarakat.

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, tanggapan negatif memberi kesan sebaliknya dan menyebabkan orang yang tidak diterima masyarakat untuk terus terjerumus dalam situasi yang tidak sihat dan berbahaya.

Tanggapan negatif mungkin berkaitan dengan kumpulan berbeza, bagi individu yang bergantung kepada opioid, kebimbangan dan rasa malu terhadap reaksi ahli keluarga, rakan dan masyarakat boleh menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan sedangkan usaha untuk menyembunyikan ketagihan mereka hanya memburukkan lagi keadaan.

Kebimbangan dipandang serong oleh masyarakat merupakan faktor pendorong utama merahsiakan masalah mereka kerana penagih amat sukar untuk mengakui masalah tersebut, khususnya kepada orang tersayang.

Namun, untuk membolehkan pemulihan bermula, penagih perlu mengakui dirinya mengalami masalah ketagihan dan perlu mendapatkan bantuan.

* Mengapa tanggapan negatif wujud?

Istilah yang mempunyai unsur negatif seperti ‘kaki ganja’ adalah nama yang kita sering dengar apabila menggambarkan seseorang yang ketagih opioid.

Malah istilah ‘penagih’ juga memberikan tanggapan kurang baik kerana digunakan dalam nada negatif.

Tanggapan buruk terhadap sekumpulan individu berlaku apabila keadaan dan cabaran yang dihadapi sesuatu kumpulan tidak difahami.

Dalam kes individu yang bergantung pada opioid, orang ramai mempunyai tanggapan salah bahawa mereka lemah, tidak mempunyai perwatakan yang kuat atau tidak bertanggungjawab semata-mata.

Perkara yang kurang difahami umum ialah ketagihan opioid ialah satu masalah perubatan, iaitu penyakit yang menjejaskan fungsi otak individu.

* Ketagihan opioid satu penyakit?

Penggunaan opioid memberikan perasaan gembira melampau yang tidak berasas atau euforia yang ketara kerana ia mencetus pengeluaran dopamin di dalam otak.

Bahan yang sama dibebaskan apabila kita melakukan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi kehebatan euforia yang dicetus oleh opioid jauh mengatasi perasaan gembira biasa.

Dengan penggunaan berpanjangan, otak menagih perasaan di awang-awang yang hanya boleh dicapai apabila mengambil opioid.

* Mengurangkan tanggapan negatif masyarakat

Malaysia terkenal kerana tindakan serius menentang penyalahgunaan dadah, dan hukuman berat dikenakan kerana memiliki dadah.

Dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di kalangan penduduk, imej negatif penagihan dadah dipaparkan, pada asasnya dengan menggunakan tanggapan negatif sebagai cara untuk menghalang orang lain daripada menagih dadah.

Pendekatan ini dikukuhkan lagi dengan tanggapan negatif masyarakat terhadap individu yang mengalami ketagihan dan kebergantungan kepada dadah.

Namun begitu, gambaran yang dipaparkan kini semakin baik. Selain menunjukkan kesengsaraan seseorang yang mengalami ketagihan, turut ditunjukkan adalah imej kehilangan yang dialami seseorang, seperti kesihatan dan keluarga mereka, yang jelas memperlihatkan kesannya yang tidak dijangka atau diharapkan penagih.

Gambaran ini menyemai idea bahawa individu yang mengalami masalah ketagihan bukannya seseorang yang lemah atau menagih dengan rela hati, sebaliknya mereka juga mangsa.

Usaha ini merupakan satu langkah kecil untuk mengatasi tanggapan negatif terhadap ketagihan dan kebergantungan kepada dadah tetapi seperti semua usaha lain, ini hanyalah langkah permulaan.

Siri iklan tersebut dengan sendirinya tidak dapat menepis tanggapan negatif yang telah wujud berdekad-dekad lamanya, justeru pendidikan memainkan peranan penting untuk membetulkan dan mengurangkan tanggapan negatif dan diskriminasi.

Lebih penting lagi, perubahan persepsi boleh membawa manfaat yang ternyata tidak dapat dicapai oleh undang-undang.

* Merawat masalah ketagihan

Ramai yang mungkin terkejut mengetahui bahawa ketagihan dadah ialah masalah perubatan yang boleh dirawat dengan selamat dan berkesan.

Satu pilihan rawatan yang dikenali sebagai terapi penggantian dadah (DST) membolehkan individu dirawat dengan ubat untuk mengurangkan keinginan terhadap dadah, tetapi tanpa euforia yang dikaitkan dengan penggunaan dadah sebenar.

Dengan cara ini, kebergantungan otak kepada kesan dadah akan berkurangan secara beransur-ansur sehinggalah akhirnya individu berkenaan mampu menjauhkan diri sepenuhnya daripada dadah.

Rencana ini disumbangkan oleh Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) sebagai menyokong kempen Jiwa Baru; satu inisiatif pendidikan awam bagi merawat ketagihan opioid.

Mengembalikan kebebasan penglihatan


MATA dan penglihatan! Secara umumnya, penglihatan banyak dikaitkan dengan kebolehan seseorang manusia melihat atau tidak (buta). Namun, bagaimana pula bagi mereka yang tidak buta tetapi tidak juga begitu ‘celik’ penglihatannya?

Semakin hari semakin ramai penduduk dunia yang mengalami masalah penglihatan, kebanyakannya rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme (masalah lekuk kornea). Ini belum ditambah dengan penyakit tertentu yang menyebabkan kemerosotan atau kehilangan deria penglihatan.

Sebenarnya bukan mudah untuk membayangkan bagaimana kesukaran individu rabun atau dengan astigmatisme melihat dunia. Berada antara mampu dan tidak mampu melihat memberi tekanan besar dalam hidup seseorang, terutamanya jika penglihatan begitu kabur sehingga hanya dapat melihat sesuatu yang bergerak.

Sejak sekian lama, masalah ini dapat dibetulkan dengan menggunakan cermin mata ataupun kanta lekap. Bagaimanapun, ini tetap bermakna individu terbabit terikat dengan penggunaan alat bantuan melihat yang mungkin perlu digunakan sepanjang masa untuk penglihatan yang jelas.

Bayangkan bagaimana keadaannya jika cermin mata atau kanta lekap jatuh atau hilang ketika memandu, berenang mahupun di tempat terpencil. Bagi yang mengalami rabun atau astigmatisme yang teruk, ini tidak jauh bezanya dari tiba-tiba menjadi buta dalam ‘terang’.

Selain itu, terdapat juga mereka yang tidak sesuai memakai atau mengalami kesan alahan terhadap bahan pada kanta atau cermin mata. Untuk itu, terdapat permintaan yang tinggi untuk mengembalikan penglihatan normal, sekurang-kurangnya untuk membolehkan pergerakan harian yang bebas.

* Kembali normal

Tidak kira sama ada untuk bebas dari pergantungan atau penjimatan kos alat bantuan melihat, perubatan, kosmetik mahupun meningkatkan kualiti hidup seharian, pemulihan deria penglihatan kepada tahap normal adalah sesuatu yang amat diperlukan. Perkembangan teknologi sejak 1950-an telah membawa kepada penemuan rawatan laser-assisted in situ keratomileusis (Lasik), yang semakin berkembang setiap tahun.

Berkembang dari penggunaan pisau kepada penggunaan laser, Lasik kini merupakan prosedur pembedahan laser paling popular untuk mengoptimumkan daya penglihatan. Lasik menggunakan laser ke atas lengkungan kornea dan menjadi pilihan kerana tempoh pemulihan yang pantas serta kurang komplikasi dan kesan sampingan berbanding pembedahan refraktif lain.

Prosedur Lasik akan membuat perubahan kekal dengan membuang bahagian tertentu tisu dalaman kornea untuk merawat rabun (jauh atau dekat) dan astigmatisme. Pembentukan semula kornea akan meningkatkan fokus cahaya pada retina yang seterusnya akan mengoptimumkan daya penglihatan.

Sebelum pembentukan semula struktur dalaman kornea dibuat, satu potongan pada lapisan atas kornea (flap) perlu dilakukan dan akan digunakan sebagai ‘pembalut semula jadi’ untuk menutup bahagian tisu tengah kornea selepas pembedahan selesai. Bagaimanapun, penggunaan pisau untuk menghasilkan flap kornea sebelum ini menyebabkan ramai yang khuatir untuk menjalani pembedahan lasik.

Untuk itu, Pusat Perubatan Prince Court (PCMC) baru-baru ini memperkenalkan kemudahan Lasik Premium Tanpa Pisau pertama di Asia Tenggara yang menggunakan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax. PCMC juga menjadi pusat perubatan tunggal yang menawarkan teknologi terkini Laser Femtosecond VisuMax yang diperkenalkan Carl Zeiss tahun lalu di rantau ini. Ini berpotensi menarik pelancong perubatan luar mendapatkan rawatan oftalmologi dengan kadar berpatutan di Malaysia.

* Membentuk semula

Pengarah Pusat Mata dan Lasik PCMC, Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan berbanding prosedur Lasik tanpa pisau yang lain, pesakit di PCMC melalui proses pembentukan flap dan pembentukan semula kornea dalam satu langkah sahaja.

“Kaedah Lasik lain memerlukan pesakit dipindahkan dari mesin membuat flap ke mesin laser excimer (untuk pembentukan semula kornea).

“Sistem integrasi untuk pembedahan refraktif laser di PCMC pula hanya memerlukan katil pesakit dipusingkan 180 darjah dari mesin Laser Femtosecond VisuMax ke mesin laser excimer MEL 80 dalam satu langkah,” katanya.

Menurut beliau, teknologi yang digunakan juga tidak memerlukan tekanan sedutan yang tinggi pada mata untuk pembentukan flap kornea berbanding kaedah lama yang menyebabkan pesakit hilang penglihatan sementara akibat tekanan tinggi pada mata.

Tambahnya, selain pesakit tidak perlu bangun dan beralih antara dua mesin terbabit, sistem laser yang digunakan juga selamat dengan pemantauan pergerakan mata. Pancaran laser akan mengikut pergerakan kecil mata dan akan berhenti serta-merta jika berlaku pergerakan besar. Untuk memastikan rawatan paling tepat dan hasil terbaik, suhu bilik bedah turut dikawal antara 18 hingga 24°C dan tahap kelembapan di bawah 50 peratus.

Dr. Muhaya memaklumkan 100 peratus daripada 180 mata yang menjalani Lasik di PCMC mencapai sasaran tahap penglihatan dalam tempoh satu minggu selepas pembedahan dan tanpa sebarang komplikasi.

“Perangkaan semasa menunjukkan lebih 95 peratus pesakit mencapai sekurang-kurangnya tahap penglihatan 20/40 atau lebih baik selepas pembedahan Lasik.

“Tahap tersebut membolehkan mereka memandu secara sah dan cukup baik untuk kebanyakan sukan dan aktiviti lain,” ujarnya.

Jelas beliau, 95 peratus pesakit bebas daripada penggunaan cermin mata atau kanta lekap dan majoritinya dapat menjalani hidup tanpa alat bantuan melihat sepanjang masa.

Beliau menegaskan pemulihan penglihatan bergantung kepada tahap kesilapan refraktif yang dialami sebelum pembedahan dan boleh mencapai penglihatan sempurna 20/20 jika tahap kesilapan refraktif lebih rendah. Pesakit yang mempunyai kesilapan refraktif yang tinggi pula mungkin memerlukan penggunaan cermin mata atau kanta lekap untuk penglihatan terbaik bagi memandu atau membaca.

* Pemulihan

Menurut Dr. Muhaya, pemulihan tahap penglihatan berlaku hampir serta-merta selepas pembedahan selesai sementara pemulihan penuh lapisan flap kornea memerlukan antara satu hingga tiga bulan.

“Kebanyakan pemulihan tahap penglihatan pesakit akan berlaku dalam beberapa hari pertama selepas prosedur Lasik dijalankan.

“Pesakit akan dinasihatkan untuk menjauhi aktiviti air untuk seketika serta mengelakkan hentakan atau menggosok mata selama empat minggu,” jelasnya.

Beliau menyatakan penglihatan sesetengah pesakit mungkin kabur sedikit dalam beberapa hari pertama tetapi ianya akan semakin baik.

Tahap penglihatan juga mungkin berbeza dalam waktu tertentu sepanjang hari, selama beberapa minggu, tetapi kebanyakan pesakit akan mendapat penglihatan jelas dalam tempoh yang singkat. Dengan aplikasi Laser Femtosecond VisuMax yang tepat dan mudah dijangka, sesetengah kes kornea terlalu nipis juga kini mungkin dapat menjalani prosedur Lasik.

Pembetulan yang dilakukan melalui prosedur tersebut juga dikatakan dapat bertahan untuk bertahun-tahun lamanya, walaupun kemerosotan penglihatan masih berterusan dengan peningkatan usia. Ini memberikan pesakit tahap penglihatan normal seperti individu lain yang turut membolehkan mereka menceburi bidang pekerjaan tertentu yang memerlukan tahap penglihatan sempurna.

Bila ditanyakan tahap keyakinan terhadap keselamatan dan manfaat prosedur Lasik, Dr. Muhaya menjelaskan beliau cukup yakin dan telah menjalankan sendiri pembedahan tersebut terhadap anak perempuannya.

“Pembedahan ini bermula dengan pesakit tersenyum dan berakhir, hanya selepas beberapa minit, juga dengan pesakit yang tersenyum gembira,” katanya.