Thursday, January 1, 2009

Mengatasi stigma terhadap ketagihan opioid

STIGMA sosial atau tanggapan negatif masyarakat ialah satu komponen penting dalam usaha merawat ketagihan opioid.

Sama seperti kemudahan dan kemampuan mendapatkan rawatan, tanggapan negatif juga memberikan kesan ketara yang boleh menentukan sama ada seseorang individu akan keluar daripada kepompongnya untuk mendapatkan rawatan.

Tanggapan negatif yang dimaksudkan bukan setakat ejekan atau panggilan nama, ia turut membabitkan tingkah laku bukan berbentuk lisan, seperti mengelakkan, mengasingkan atau menolak kehadiran individu atau kumpulan penagih.

Walaupun berbentuk tidak ketara, stigma mempengaruhi masyarakat. Apabila dilihat dengan secara positif, tanggapan seperti ini mungkin menghalang kelakuan yang tidak diingini, memastikan orang ramai mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang tidak diterima dalam masyarakat.

Bagaimanapun, dalam sesetengah kes, tanggapan negatif memberi kesan sebaliknya dan menyebabkan orang yang tidak diterima masyarakat untuk terus terjerumus dalam situasi yang tidak sihat dan berbahaya.

Tanggapan negatif mungkin berkaitan dengan kumpulan berbeza, bagi individu yang bergantung kepada opioid, kebimbangan dan rasa malu terhadap reaksi ahli keluarga, rakan dan masyarakat boleh menyebabkan mereka tidak mendapatkan rawatan sedangkan usaha untuk menyembunyikan ketagihan mereka hanya memburukkan lagi keadaan.

Kebimbangan dipandang serong oleh masyarakat merupakan faktor pendorong utama merahsiakan masalah mereka kerana penagih amat sukar untuk mengakui masalah tersebut, khususnya kepada orang tersayang.

Namun, untuk membolehkan pemulihan bermula, penagih perlu mengakui dirinya mengalami masalah ketagihan dan perlu mendapatkan bantuan.

* Mengapa tanggapan negatif wujud?

Istilah yang mempunyai unsur negatif seperti ‘kaki ganja’ adalah nama yang kita sering dengar apabila menggambarkan seseorang yang ketagih opioid.

Malah istilah ‘penagih’ juga memberikan tanggapan kurang baik kerana digunakan dalam nada negatif.

Tanggapan buruk terhadap sekumpulan individu berlaku apabila keadaan dan cabaran yang dihadapi sesuatu kumpulan tidak difahami.

Dalam kes individu yang bergantung pada opioid, orang ramai mempunyai tanggapan salah bahawa mereka lemah, tidak mempunyai perwatakan yang kuat atau tidak bertanggungjawab semata-mata.

Perkara yang kurang difahami umum ialah ketagihan opioid ialah satu masalah perubatan, iaitu penyakit yang menjejaskan fungsi otak individu.

* Ketagihan opioid satu penyakit?

Penggunaan opioid memberikan perasaan gembira melampau yang tidak berasas atau euforia yang ketara kerana ia mencetus pengeluaran dopamin di dalam otak.

Bahan yang sama dibebaskan apabila kita melakukan sesuatu aktiviti yang menyeronokkan tetapi kehebatan euforia yang dicetus oleh opioid jauh mengatasi perasaan gembira biasa.

Dengan penggunaan berpanjangan, otak menagih perasaan di awang-awang yang hanya boleh dicapai apabila mengambil opioid.

* Mengurangkan tanggapan negatif masyarakat

Malaysia terkenal kerana tindakan serius menentang penyalahgunaan dadah, dan hukuman berat dikenakan kerana memiliki dadah.

Dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah yang semakin berleluasa di kalangan penduduk, imej negatif penagihan dadah dipaparkan, pada asasnya dengan menggunakan tanggapan negatif sebagai cara untuk menghalang orang lain daripada menagih dadah.

Pendekatan ini dikukuhkan lagi dengan tanggapan negatif masyarakat terhadap individu yang mengalami ketagihan dan kebergantungan kepada dadah.

Namun begitu, gambaran yang dipaparkan kini semakin baik. Selain menunjukkan kesengsaraan seseorang yang mengalami ketagihan, turut ditunjukkan adalah imej kehilangan yang dialami seseorang, seperti kesihatan dan keluarga mereka, yang jelas memperlihatkan kesannya yang tidak dijangka atau diharapkan penagih.

Gambaran ini menyemai idea bahawa individu yang mengalami masalah ketagihan bukannya seseorang yang lemah atau menagih dengan rela hati, sebaliknya mereka juga mangsa.

Usaha ini merupakan satu langkah kecil untuk mengatasi tanggapan negatif terhadap ketagihan dan kebergantungan kepada dadah tetapi seperti semua usaha lain, ini hanyalah langkah permulaan.

Siri iklan tersebut dengan sendirinya tidak dapat menepis tanggapan negatif yang telah wujud berdekad-dekad lamanya, justeru pendidikan memainkan peranan penting untuk membetulkan dan mengurangkan tanggapan negatif dan diskriminasi.

Lebih penting lagi, perubahan persepsi boleh membawa manfaat yang ternyata tidak dapat dicapai oleh undang-undang.

* Merawat masalah ketagihan

Ramai yang mungkin terkejut mengetahui bahawa ketagihan dadah ialah masalah perubatan yang boleh dirawat dengan selamat dan berkesan.

Satu pilihan rawatan yang dikenali sebagai terapi penggantian dadah (DST) membolehkan individu dirawat dengan ubat untuk mengurangkan keinginan terhadap dadah, tetapi tanpa euforia yang dikaitkan dengan penggunaan dadah sebenar.

Dengan cara ini, kebergantungan otak kepada kesan dadah akan berkurangan secara beransur-ansur sehinggalah akhirnya individu berkenaan mampu menjauhkan diri sepenuhnya daripada dadah.

Rencana ini disumbangkan oleh Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) sebagai menyokong kempen Jiwa Baru; satu inisiatif pendidikan awam bagi merawat ketagihan opioid.

No comments:

Post a Comment