Wednesday, December 17, 2008

Sindrom Haglund

SINDROM Haglund adalah punca lazim kesakitan tumit di kalangan populasi di negara ini. Sindrom ini mengakibatkan bengkak, kesakitan dan kesukaran memakai kasut.

Keadaan ini boleh terjadi kepada semua peringkat usia terutamanya kepada mereka yang memakai kasut yang mempunyai penutup tumit yang keras. Keadaan ini juga akan merumitkan seseorang untuk berjalan dengan sempurna.

Tumit kaki mengandungi tulang yang terbesar di dalam anggota kaki yang dipanggil ‘Calcaneus’. Di belakang Calcaneus ini adalah cantuman tendon Achilles. Tisu yang besar dan kuat inilah yang membantu manusia untuk berjalan dan melompat.

Struktur dikenali sebagai Retrocalcaneal bursa pula terletak di antara tisu Achilles dan Calcaneus. Ia berbentuk seperti kantung yang berisi cecair yang membolehkan tisu meluncur dengan tulang calcaneum. Bursa terdapat di seluruh badan kita di mana tisu meluncur di atas tulang.

Sindrom Haglund terjadi apabila Retrocalcaneal bursa membengkak akibat tekanan yang berulang pada belakang tumit melalui kasut yang dipakai setiap hari.

Kedua-dua bursa dan tisu Achilles tertekan di antara bonggol Haglund dan kasut. Inilah yang menyebabkan keradangan kepada struktur tulang, bengkak dan rasa sakit.

Dengan tekanan yang berulang, tendon Achilles akan menjadi rapuh atau semakin nipis pada cantuman dengan Calcaneus yang lama-kelamaan melemahkan tisu berkenaan dan seterusnya akan terputus.

* Simptom

Tanda yang utama sindrom ini adalah sakit di belakang tumit. Kesakitan asalnya bermula apabila kawasan yang bengkak bergeser dengan hujung tumit kasut.

Lama-kelamaan kesakitan ini akan merebak kepada tendon Achilles. Apabila keadaan semakin serius, ia boleh mengakibatkan otot pada betis (gastrocnemius) menjadi kecil dan tendon Achilles terputus.

* Diagnosis

Diagnosis bermula dengan pakar Ortopedik membuat pemeriksaan dan merekodkan sejarah perubatan pesakit. Tanda yang ketara adalah apabila terdapat bengkak di belakang tumit sama ada dengan atau tanpa tanda-tanda keradangan.

Gambar imbasan sinar-X tumit akan diambil untuk menentukan bentuk Calcaneus, bonggol Haglund dan sama ada terdapat pembentukan kalsium dalam tendon Achilles.

Punca-punca lain yang boleh mengakibatkan rasa sakit pada bahagian tumit kaki juga perlu dikecualikan sebelum didiagnosis sebagai Sindrom Haglund.

* Rawatan

Rawatan boleh dibahagikan kepada dua iaitu melalui pembedahan atau tanpa pembedahan. Majoriti atau kebanyakan kes pada peringkat permulaannya dirawat tanpa memerlukan apa-apa pembedahan dilakukan.

Walau bagaimanapun, pembedahan tidak dapat dielakkan sekiranya simptom berterusan dan rawatan tanpa pembedahan tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif.

* Rawatan tanpa pembedahan

Punca utama kesakitan adalah cara pemakaian kasut dan tekanan pada belakang tumit. Langkah wajar yang patut diambil adalah dengan tidak memakai kasut yang mempunyai penutup belakang tumit seperti selipar atau sandal.

Jika memakai kasut sebegini, pad silikon boleh dilekatkan pada belakang tumit kasut untuk memberi keselesaan pada kawasan tumit kaki dan untuk mengelakkan geseran.

Langkah-langkah rawatan lain memberi tumpuan dalam mengurangkan keradangan di sekitar kawasan tumit kaki dan tisu Achilles.

Ini boleh dirawat menggunakan ubat anti keradangan yang tidak mengandungi steroid, terapi lilin (wax) dan ultrasound.

Simulasi Trancutaneous Electro Nervous (TENS) juga boleh diaplikasikan untuk melegakan kesakitan.

Jika gejala penyakit tidak berkurangan melalui kaedah-kaedah ini, dan ada tanda-tanda seperti benjol yang besar dan pembentukan kalsium dalam tendon Achilles, pembedahan segera perlu dilakukan.

* Pembedahan

Tujuan utama pembedahan adalah untuk mengurangkan tekanan kepada belakang tumit kaki dengan mengurangkan bonggol tersebut.

Ini boleh dilakukan dengan membuang bonggol Haglund atau pun dengan cara osteotomi calcaneal wedge. Lama-kelamaan, ketebalan tisu pada belakang tumit kaki akan mengecut kepada saiz asal.

* Mengeluarkan bonggol Haglund

Bonggol Haglund boleh dikeluarkan melalui dua kaedah pembedahan iaitu secara terbuka (melalui insisi) atau endoskopi (insisi kecil).

Sebahagian kecil bonggol akan dibuang dan dibentuk semula untuk mengelakkan pertindihan pada tendon Achilles.

Retrocalcaneal bursa dan ruang di sekitarnya akan dibersihkan. Kaedah pembedahan secara insisi terbuka adalah lebih sesuai bagi pesakit yang mempunyai pembentukan kalsium dalam tendon Achilles.

Selepas pembedahan, insisi akan ditutup dengan jahitan dan kaki dibalut. Acuan separa plaster akan digunakan bagi mengelakkan pergerakan yang berlebihan dan untuk melegakan kesakitan.

Bonggol Haglund adalah punca lazim kesakitan pada tumit kaki dalam populasi. Adalah penting punca-punca lain dikecualikan supaya rawatan sempurna dapat diberikan untuk melegakan gejala yang dialami pesakit.

Sindrom ini adalah sesuatu yang boleh dirawat dengan sempurna untuk memberi keselesaan kepada pesakit yang menghidapinya.

No comments:

Post a Comment