Wednesday, December 17, 2008

Cara cegah batu karang

ATU karang adalah penyakit yang kerap berlaku di kalangan orang dewasa berbanding kanak-kanak. Sekiranya keluarga mempunyai riwayat batu karang maka kanak-kanak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit yang sama.

Batu karang berasal daripada zat mineral halus yang menjadi keras dalam jangka masa yang lama. Batu karang terhasil daripada kandungan kalsium, oxalate atau asid urik yang tinggi di dalam air kencing. Buah pinggang pula tidak dapat memastikan kandungan air yang mencukupi untuk mencairkan bahan ini, menyebabkan ia membentuk ketulan kristal yang halus dan seterusnya secara perlahan-lahan ia akan membentuk batu karang.

Oleh kerana itu, buah pinggang haruslah memastikan bekalan air yang mencukupi untuk membuang bahan yang berlebihan ini. Ada beberapa faktor yang boleh menyebabkan seseorang mempunyai risiko tinggi untuk mendapat batu karang. Penyakit batu karang ini boleh berulang sekiranya pencegahan tidak diambil kira:

# Kurang minum air dan dehidrasi berpanjangan

# Airan dan jumlah air kencing kurang atau perlahan atas sebab tertentu sama ada saluran kencing tersumbat atau pundi kencing tidak berfungsi dengan baik.

# Jumlah kandungan bahan kimia seperti kalsium, oxalate dan asid urik berlebihan.

# Penyakit perubatan lain yang mengganggu proses pembentukan air kencing atau fungsi buah pinggang.

# Makanan yang mengandungi paras garam, lemak, daging merah dan gula yang tinggi boleh menambah risiko penghasilan batu karang.

Tanda menunjukkan seseorang kanak-kanak itu mungkin menghidapi batu karang ialah:

# Kencing berdarah

# Bertambah kekerapan buang air kecil dan tidak lawas kencing

# Rasa loya dan muntah

# Rasa sakit ketika buang air kecil

# Sakit bahagian pundi kencing atau belakang

# Mendapat jangkitan air kencing

Salah satu cara bagi mencegah terhasilnya batu karang ialah dengan membuat perubahan kepada diet anak dan minum banyak air.

Galakkan mereka supaya meminum air mencukupi bagi keperluan badan untuk aktiviti harian sekurang-kurangnya setengah daripada berat badan dalam millimeter.

Minuman seperti jus limau atau lemonade adalah kaya dengan sumber sitrat yang boleh mengurangkan pembentukan batu karang. Elakkan memakan makanan yang mengandungi banyak garam. Rawat jangkitan air kencing dengan cepat.

Sekiranya batu karang tidak dirawat, lama kelamaan ia boleh mengganggu fungsi buah pinggang pesakit dan memberi kesan negatif.

Penggunaan ubat-ubatan herba haruslah dilakukan berhati-hati dan mendapat nasihat daripada pakar kerana ada herba yang berbeza mempunyai khasiat berbeza, ia mungkin boleh memudaratkan lagi keadaan pesakit.

Faktor penyalahgunaan dan ketagihan dadah

PERSEKITARAN atau asuhan? Tiada siapa yang mahu ketagih dadah. Penagih bukannya sengaja menagih dadah semata-mata untuk memusnahkan kehidupan sendiri dan menyakitkan hati orang yang menyayangi mereka. Malangnya masyarakat sering memandang serong terhadap mereka, dan berpendapat mereka yang patut disalahkan kerana ketagihan mereka itu, walhal mereka boleh berhenti jika mereka benar-benar mahu.

Masyarakat pada umumnya menanam perasaan bimbang dalam diri mereka terhadap perkataan ‘penagih’ dan apabila menghadapi golongan penagih, orang ramai lebih suka ‘buat-buat tak nampak’ dan menuju ke arah lain. Berbeza daripada pandangan tersebut, ketagihan kepada bahan seperti dadah, alkohol atau nikotin (dari tembakau) bukan berpunca daripada keazaman yang lemah atau akhlak yang kurang baik. Ahli sains telah mengkaji individu yang menagih dadah dan mendapati bahawa fungsi otak mereka terjejas akibat dadah yang diambil.

Memahami ketagihan

Sesetengah individu lebih cenderung menagih dadah. Seperti penyakit lain, kecenderungan menagih berbeza-beza di kalangan insan, dan bergantung kepada bilangan faktor risiko yang terbabit. Pendek kata, faktor risiko dan faktor pelindung adalah seperti daya magnet pada kutub yang bertentangan.

Seseorang yang menghadapi beberapa faktor risiko adalah lebih terdedah kepada ketagihan berbanding seseorang dengan hanya mempunyai satu faktor risiko. Sebaliknya terdapat faktor pelindung yang berlawanan dengan faktor risiko, justeru mengurangkan risiko seseorang mengalami ketagihan. Beberapa contoh faktor risiko dan faktor pelindung adalah seperti berikut:

Namun, tidak ada satu faktor tunggal yang menentukan sama seseorang akan menjadi penagih dadah kerana seluruh prosesnya amat rumit dan mengambil kira banyak pemboleh ubah. Antaranya termasuk jantina dan bangsa, peringkat tumbesaran dan persekitaran sosial semasa membesar.

Ketagihan sejenis penyakit otak

Opioid, iaitu dadah paling kerap disalahgunakan di seluruh dunia, mengikat kepada reseptor dalam otak untuk merangsang penghasilan dopamin, sejenis bahan yang wujud secara semula jadi yang membuat kita rasa gembira. Walaupun opioid dalam bentuk morfin dan ubat pelega kesakitan preskripsi mempunyai peranan sah (apabila digunakan sebagai pelega kesakitan di bawah pengawasan perubatan), penggunaan secara rekreasi atau sebagai amalan biasa boleh menyebabkan ketagihan apabila otak tidak dapat berfungsi secara normal tanpa opioid .

Ketagihan dan kebergantungan kepada dadah bukan satu kejadian rambang. Mungkin masalah hidup, ketidakselesaan, gangguan emosi atau kesakitan fizikal menyebabkan seseorang mula menyalahgunakan dadah yang seterusnya mengundang kebergantungan sepanjang hayat mereka.

Terdapat dua ciri umum yang dilihat dalam masalah ketagihan dan kebergantungan kepada dadah iaitu dorongan nafsu yang kuat untuk mengambil dadah (tanpa keupayaan untuk mengawal pengambilan) dan sindrom penarikan yang menyebabkan ketidakselesaan fizikal dan kehilangan motivasi apabila dadah tidak diberikan. Penyalahgunaan dadah boleh menyebabkan kebergantungan atau ketagihan. Ketagihan (kebergantungan) dadah ialah penggunaan bahan secara berulang, walaupun ia mendatangkan kesan negatif dan kadang kala berbahaya .

Oleh kerana kesannya terhadap otak dan gejala tarikan serius yang boleh menyebabkan kesakitan fizikal, ketagihan ialah sejenis penyakit kronik (jangka panjang) dengan kadar berulangan yang tinggi. Ditambah pula dengan tanggapan buruk masyarakat terhadap masalah ini, individu yang cuba mengatasi ketagihan mereka menghadapi masalah besar untuk menanganinya.

Ketagihan dan kebergantungan kepada dadah ialah penyakit progresif. Keadaan ini boleh menyebabkan penagih hilang harga diri apabila mereka rasa mereka harus disalahkan, hilang punca kewangan apabila ketagihan mereka menyebabkan mereka mengabaikan tugas mereka, dan kehilangan sokongan daripada orang tersayang yang tidak dapat membantu mereka. Ramai keluarga yang mengabaikan atau menyembunyikan hakikat bahawa orang tersayang mereka mengalami ketagihan dan kebergantungan kepada dadah.

Dalam keadaan paling buruk, individu tersebut mungkin dipinggirkan atau tidak diterima oleh keluarga masing-masing, menyebabkan mereka tidak mempunyai banyak pilihan. Tidak kira punca atau sebab seorang individu mula menyalahgunakan dadah, sama ada sebagai sesuatu aktiviti yang menyeronokkan atau untuk mengalihkan tumpuan daripada masalah lain, hakikatnya ialah usaha melepaskan diri daripada belenggu ketagihan memerlukan bantuan.

Merawat masalah ketagihan

Menyedari bahawa ketagihan berpunca daripada ciri fisiologi dan juga persekitaran, kaedah rawatan paling berkesan ialah pendekatan serampang dua mata yang menangani keperluan atau ketagihan fizikal dan juga keperluan psikologi dan emosi penagih. Walaupun orang ramai sudah biasa dengan kaedah pemulihan ketagihan, iaitu seseorang penagih dimasukkan ke sebuah institusi perubatan sepanjang rawatan, terdapat satu lagi pilihan rawatan yang dikenali sebagai terapi penggantian dadah (DST) di mana penagih dirawat dengan ubat untuk mengurangkan keinginan tetapi tanpa perasaan amat gembira (euforia) yang dikaitkan dengan penggunaan dadah sebenar.

Dengan cara ini, kebergantungan otak kepada kesan dadah akan berkurangan sehinggalah pesakit berkenaan boleh mengelakkan diri sama sekali daripada menggunakan dadah. Ada dua jenis DST yang boleh digunakan:

* Buprenorphine - sejenis rawatan baru dalam bentuk tablet yang diletakkan di bawah lidah. Sebagai opioid agonis separa, ia mengikat kepada reseptor opioid dalam otak dengan cara yang sama seperti dadah opioid tanpa kesan penuh supaya penggunaannya tidak menyebabkan perasaan euforia. Jika pengguna cuba mengambil lebih daripada dos yang diperlukan, dia akan mengalami gejala tarikan. Dalam kes ini, buprenorphine akan bertukar daripada agonis separa kepada antagonis.

Buprenorphine juga mengandungi naxolone, yang menyebabkan gejala tarikan serius jika tidak diambil mengikut arahan. Ini bertujuan mengurangkan kemungkinan rawatan disalahgunakan, memudahkan pesakit mendapatkan rawatan dan mengurangkan kos penyeliaan jangka panjang pesakit. Bentuk rawatan ini memberikan peluang kepada pesakit yang bergantung kepada opioid untuk bertukar lebih awal kepada terapi di rumah dan pengambilan dos yang tidak kerap (selang sehari), membolehkan pesakit meneruskan kehidupan mereka, sama ada bekerja atau menguruskan rumah tangga.

* Methadone - sejenis ubat oral cecair yang diambil setiap hari di pejabat doktor atau klinik methadone di bawah penyeliaan langsung. Methadone ialah sejenis opioid agonis penuh yang mengaktifkan reseptor opioid dalam otak, merangsang reseptor untuk menghalang isyarat sakit dan menyebabkan perasaan euforia. Namun, pemantauan rapi diperlukan kerana pengguna mungkin menambahkan dos untuk mencetus perasaan euforia.

Sindrom Haglund

SINDROM Haglund adalah punca lazim kesakitan tumit di kalangan populasi di negara ini. Sindrom ini mengakibatkan bengkak, kesakitan dan kesukaran memakai kasut.

Keadaan ini boleh terjadi kepada semua peringkat usia terutamanya kepada mereka yang memakai kasut yang mempunyai penutup tumit yang keras. Keadaan ini juga akan merumitkan seseorang untuk berjalan dengan sempurna.

Tumit kaki mengandungi tulang yang terbesar di dalam anggota kaki yang dipanggil ‘Calcaneus’. Di belakang Calcaneus ini adalah cantuman tendon Achilles. Tisu yang besar dan kuat inilah yang membantu manusia untuk berjalan dan melompat.

Struktur dikenali sebagai Retrocalcaneal bursa pula terletak di antara tisu Achilles dan Calcaneus. Ia berbentuk seperti kantung yang berisi cecair yang membolehkan tisu meluncur dengan tulang calcaneum. Bursa terdapat di seluruh badan kita di mana tisu meluncur di atas tulang.

Sindrom Haglund terjadi apabila Retrocalcaneal bursa membengkak akibat tekanan yang berulang pada belakang tumit melalui kasut yang dipakai setiap hari.

Kedua-dua bursa dan tisu Achilles tertekan di antara bonggol Haglund dan kasut. Inilah yang menyebabkan keradangan kepada struktur tulang, bengkak dan rasa sakit.

Dengan tekanan yang berulang, tendon Achilles akan menjadi rapuh atau semakin nipis pada cantuman dengan Calcaneus yang lama-kelamaan melemahkan tisu berkenaan dan seterusnya akan terputus.

* Simptom

Tanda yang utama sindrom ini adalah sakit di belakang tumit. Kesakitan asalnya bermula apabila kawasan yang bengkak bergeser dengan hujung tumit kasut.

Lama-kelamaan kesakitan ini akan merebak kepada tendon Achilles. Apabila keadaan semakin serius, ia boleh mengakibatkan otot pada betis (gastrocnemius) menjadi kecil dan tendon Achilles terputus.

* Diagnosis

Diagnosis bermula dengan pakar Ortopedik membuat pemeriksaan dan merekodkan sejarah perubatan pesakit. Tanda yang ketara adalah apabila terdapat bengkak di belakang tumit sama ada dengan atau tanpa tanda-tanda keradangan.

Gambar imbasan sinar-X tumit akan diambil untuk menentukan bentuk Calcaneus, bonggol Haglund dan sama ada terdapat pembentukan kalsium dalam tendon Achilles.

Punca-punca lain yang boleh mengakibatkan rasa sakit pada bahagian tumit kaki juga perlu dikecualikan sebelum didiagnosis sebagai Sindrom Haglund.

* Rawatan

Rawatan boleh dibahagikan kepada dua iaitu melalui pembedahan atau tanpa pembedahan. Majoriti atau kebanyakan kes pada peringkat permulaannya dirawat tanpa memerlukan apa-apa pembedahan dilakukan.

Walau bagaimanapun, pembedahan tidak dapat dielakkan sekiranya simptom berterusan dan rawatan tanpa pembedahan tidak menunjukkan sebarang tindak balas positif.

* Rawatan tanpa pembedahan

Punca utama kesakitan adalah cara pemakaian kasut dan tekanan pada belakang tumit. Langkah wajar yang patut diambil adalah dengan tidak memakai kasut yang mempunyai penutup belakang tumit seperti selipar atau sandal.

Jika memakai kasut sebegini, pad silikon boleh dilekatkan pada belakang tumit kasut untuk memberi keselesaan pada kawasan tumit kaki dan untuk mengelakkan geseran.

Langkah-langkah rawatan lain memberi tumpuan dalam mengurangkan keradangan di sekitar kawasan tumit kaki dan tisu Achilles.

Ini boleh dirawat menggunakan ubat anti keradangan yang tidak mengandungi steroid, terapi lilin (wax) dan ultrasound.

Simulasi Trancutaneous Electro Nervous (TENS) juga boleh diaplikasikan untuk melegakan kesakitan.

Jika gejala penyakit tidak berkurangan melalui kaedah-kaedah ini, dan ada tanda-tanda seperti benjol yang besar dan pembentukan kalsium dalam tendon Achilles, pembedahan segera perlu dilakukan.

* Pembedahan

Tujuan utama pembedahan adalah untuk mengurangkan tekanan kepada belakang tumit kaki dengan mengurangkan bonggol tersebut.

Ini boleh dilakukan dengan membuang bonggol Haglund atau pun dengan cara osteotomi calcaneal wedge. Lama-kelamaan, ketebalan tisu pada belakang tumit kaki akan mengecut kepada saiz asal.

* Mengeluarkan bonggol Haglund

Bonggol Haglund boleh dikeluarkan melalui dua kaedah pembedahan iaitu secara terbuka (melalui insisi) atau endoskopi (insisi kecil).

Sebahagian kecil bonggol akan dibuang dan dibentuk semula untuk mengelakkan pertindihan pada tendon Achilles.

Retrocalcaneal bursa dan ruang di sekitarnya akan dibersihkan. Kaedah pembedahan secara insisi terbuka adalah lebih sesuai bagi pesakit yang mempunyai pembentukan kalsium dalam tendon Achilles.

Selepas pembedahan, insisi akan ditutup dengan jahitan dan kaki dibalut. Acuan separa plaster akan digunakan bagi mengelakkan pergerakan yang berlebihan dan untuk melegakan kesakitan.

Bonggol Haglund adalah punca lazim kesakitan pada tumit kaki dalam populasi. Adalah penting punca-punca lain dikecualikan supaya rawatan sempurna dapat diberikan untuk melegakan gejala yang dialami pesakit.

Sindrom ini adalah sesuatu yang boleh dirawat dengan sempurna untuk memberi keselesaan kepada pesakit yang menghidapinya.

Tenaga semulajadi CoQ10 larut air

BAGI penduduk tua yang kian meningkat bilangannya, semakin banyak tumpuan diberi kepada langkah pencegahan, bukan sahaja terhadap berbagai jenis penyakit berkaitan penuaan, tetapi juga terhadap proses penuaan itu sendiri.

Penuaan dianggap sebagai satu proses yang akan tetap menimpa semua organisma hidup dan ia tidak dapat dielakkan dan sama sekali tidak dapat diterbalikkan.

Apabila Alexander Fleming menemui antibiotik penisilin, para doktor di seluruh dunia dan rakan sejawat beliau di Edinburgh ketawa besar apabila beliau menyatakan penisilin akan menjadi sejenis ubat yang paling mujarab untuk menentang kebanyakan jenis jangkitan.

Apabila Stanley Prusiner mula mengemukakan teori ‘prion’ untuk menghuraikan penyakit ‘Lembu Gila’ pada 1982, beliau terpaksa bersabar menerima bermacam bentuk ejekan daripada rakan sejawatnya, namun semuanya itu dapat disangkal selepas beliau memenangi Hadiah Nobel.

Kini, satu penemuan terbaru yang menakjubkan dalam bidang kesihatan, iaitu pencapaian yang dapat meningkatkan tenaga dan kecergasan, membantu sistem imun, meningkatkan kekuatan dan kesihatan jantung kita (melegakan angina dan melindungi serangan jantung, menurunkan paras kolesterol dan tekanan darah tinggi), mengekalkan gigi dan gusi yang lebih sihat.

Kemunculan terbaru ini pada umumnya berlaku secara tidak disedari oleh ramai orang di Malaysia.

Apakah kemungkinan penemuan terbaru yang ada hubung kait dengan keunggulan kesihatan ini sedikit pun tidak disedari ramai?

Ia ialah koenzim Q10 (CoQ10). CoQ10 ialah sejenis jisim yang menyerupai vitamin yang dijumpai di dalam setiap sel badan manusia.

Tenaga

CoQ10 memainkan peranan penting dalam pengeluaran tenaga biologi Adenosine Triphosphate (ATP).

Tanpa CoQ10, badan kita tidak berupaya untuk menjana tenaga, dan tanpa tenaga kehidupan tidak akan wujud.

Semasa kita muda, sel kita sarat dengan CoQ10 untuk mengeluarkan begitu banyak tenaga bagi menggerakkan badan dengan cekap dan kuat.

Apabila semakin tua, badan kita mengeluarkan semakin sedikit CoQ10 dan ini akan menyebabkan kemerosotan pengeluaran tenaga.

Maka, kekurangan tenaga ini akan menjejaskan semua aspek kehidupan kita, mengancam kesihatan dan pada masa yang sama mempercepatkan proses penuaan badan.

Terdapat beberapa tanda amaran tentang kemerosotan tenaga, seperti yang tersenarai di bawah ini. Kenal pasti tanda-tanda yang mungkin ada kaitan dengan anda.

* Tanda Pertama: Minda anda berkata ‘pergi sekarang’ tetapi badan anda berkata ‘tunggu dahulu’.

Boleh dikatakan setiap orang yang berusia lebih 30 tahun akan melalui pengalaman seperti ini pada suatu ketika dalam hidup mereka.

Otak anda menyuruh anda pergi dan melakukan sesuatu tetapi badan anda terlampau letih untuk bergerak untuk melakukannya.

Mungkin ia merupakan suatu kegiatan yang biasa sahaja seperti pergi berjalan-jalan atau memasak ataupun sesuatu kegiatan tambahan seperti pergi bersenam di gimnasium.

Apa jua kegiatan itu, anda kelihatan seperti tidak bermaya dan tidak bertenaga untuk melakukan sebarang kegiatan.

Adakah hari anda nampaknya menjadi semakin singkat? Nampaknya anda tidak lagi dapat memasukkan semua kegiatan anda ke dalam jadual harian anda.

Misteri hari yang terasa semakin singkat seperti ini merupakan satu lagi tanda kemerosotan tenaga.

* Tanda Kedua: Anda bangun daripada tidur dan berasa lebih letih daripada sebelum tidur. Adakah anda berasa begitu susah untuk bangun setiap pagi?

Terdapat dua sebab mengapa anda bangun dari tidur dan berasa lebih letih, sama ada tidak cukup tidur atau mutu tidur yang tidak baik.

Kita memerlukan enam hingga lapan jam tidur untuk bangun pagi dengan lebih segar dan aktif. Jika anda telah pun memperolehi tidur yang cukup tetapi masih lagi bangun dengan rasa letih, maka barangkali anda sedang menghampiri krisis tenaga.

Tekanan atau ketegangan merupakan satu lagi pemusnah tidur, yang juga merupakan suatu keadaan yang lebih sukar untuk ditangani apabila anda berada di peringkat kekurangan tenaga.

Tekanan (stres) selanjutnya menyusutkan paras tenaga kita, membuatkan kita dua kali ganda lebih letih daripada sebelumnya.

* Tanda Ketiga: Ketagih untuk tidur tengah hari. Adakah anda rasa lebih letih apabila hari semakin lanjut?

Adakah anda mengelak mesyuarat yang diadakan selepas makan tengah hari kerana anda tahu anda tidak dapat membuka mata anda serta menahan mengantuk? Kelesuan pada tengah hari seperti ini merupakan satu tanda biasa kemerosotan tenaga.

* Tanda Keempat: Otak yang kabur. Adakah anda berasa lembap dan tidak dapat menumpukan fikiran ataupun mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan pada waktu tertentu setiap hari?

Adakah ingatan anda mengecewakan anda pada sesuatu ketika? Kehilangan daya ingatan otak yang tidak ketara seperti ini merupakan satu lagi tanda yang badan anda sedang mengalami keadaan tenaga yang rendah.

* Tanda Kelima: Anda makan berlebihan kerana tenaga anda rendah. Barangkali anda juga menyimpan timbunan makanan ringan dalam laci atau peti sejuk untuk memuaskan nafsu makan anda yang seringkali berlaku apabila anda berasa letih. Apa akan jadi selepas itu?

Tenaga anda meningkat buat beberapa minit, tetapi akan merudum semula dan anda terpaksa memakan banyak lagi makanan ringan itu.

Satu-satunya yang anda dapat dari semua ini ialah tambahan berat badan sahaja. Tindakbalas badan terhadap kelaparan dan keletihan adalah hampir sama.

Ramai antara kita silap tanggapan kerana menyifatkan keletihan sebagai kelaparan dan terus mencari makanan walaupun anda tidak perlu berbuat demikian, akibatnya berat badan yang tidak diingini itu akan bertambah.

Keterangan di atas adalah beberapa tanda kemerosotan tenaga yang jika diabaikan akan menyebabkan kesusutan dalam sistem tenaga anda, yang akhirnya akan menjejaskan setiap aspek kehidupan anda.

Sekiranya anda sedang mengalami satu atau lebih tanda-tanda amaran ini, anda boleh mengambil langkah untuk meningkatkan semula sistem tenaga anda.

Walaupun CoQ10 wujud secara semulajadi dalam beberapa jenis makanan seperti daging lembu dan sayuran, jumlah CoQ10 dalam makanan ini adalah kecil.

Adalah sukar untuk mendapatkan jumlah CoQ10 yang mencukupi setiap hari dari makanan kita semata-mata. Oleh itu antara penyelesaian terhadap masalah ini ialah melalui pengambilan suplemen CoQ10.

Panduan membeli suplemen

Kebiasaannya suplemen-suplemen CoQ10 tidak dapat diserap dengan mudah oleh badan (serbuk CoQ10 yang diampaikan dalam minyak soya, di dalam kapsul gel lembut; pil-pil yang berasaskan serbuk; atau kapsul gelatin keras yang diisikan dengan serbuk).

Ini adalah kerana saiz zarah CoQ10 adalah sangat besar, dan tambahan pula ianya tidak larut air serta tidak begitu larut dalam lipid yang membuatnya sukar untuk diserap oleh badan.

Namun demikian, terdapat satu bentuk CoQ10 yang larut air (hydrosoluble) dan diperbuat dengan menggunakan teknologi ‘Biosolv’ yang dipatenkan.

Ini dapat mengurangkan saiz zarah CoQ10 daripada 25 hingga 70 mikron kepada kurang 0.3 mikron, malah saiz ini adalah lebih kecil daripada saiz bakteria! Oleh itu ia dapat diserap dengan mudah ke dalam aliran darah.

Apa yang tidak dapat diserap ke dalam aliran darah tidak boleh digunakan oleh badan. Dengan mengambil CoQ10 larut air, lebih banyak CoQ10 boleh diserap ke dalam aliran darah untuk meningkatkan paras tenaga dalam badan anda.

Maklumat dalam artikel ini adalah untuk tujuan pendidikan sahaja dan seharusnya tidak digunakan sebagai ganti nasihat kesihatan peribadi. Jika anda sedang mengalami masalah kesihatan, anda dinasihatkan supaya berjumpa dengan pengamal pakar kesihatan.

Antara tempoh dan kualiti tidur

TIDUR yang cukup dan memuaskan merupakan sesuatu yang semakin sukar diperolehi di dalam dunia moden yang amat sibuk.

Banyak kajian telah menunjukkan bahaya waktu tidur terlalu singkat sedangkan manusia memerlukan antara tujuh ke lapan jam tidur setiap hari.

Dari kemalangan seperti kemalangan jalan raya, sehinggalah kepada bermacam penyakit lain telah dikaitkan dengan tidak cukup tidur yang kronik (berlarutan).

Kekurangan masa dan kualiti tidur dikatakan menghakis keupayaan dan fungsi badan sehingga mendedahkan kita kepada penyakit jantung, diabetes dan bermacam penyakit lain lagi.

Kualiti tidur juga kini semakin banyak menerima perhatian penyelidik kerana dikhuatiri menjejaskan hidup lebih banyak hidup penduduk dunia berbanding kurang tidur (insomnia).

Antara yang diberi perhatian adalah halangan laluan udara salur pernafasan seperti Apnea Tidur Halangan (OSA) yang boleh menyebabkan penghidap sering terjaga (tersentak) dari tidur atau berhenti bernafas selama 30 saat, berkali-kali setiap malam.

Pakar Sains Neuro (saraf) Universiti Bandar New York, Dr. William Fishbein menjelaskan terdapat juga kaitan antara tempoh dan kualiti tidur dengan daya ingatan seseorang.

Tahap ‘tidur gelombang perlahan’ iaitu tahap tidur yang nyenyak, sebelum seseorang mencapai tahap tidur bermimpi (tahap REM), dikatakan mungkin memainkan peranan penting dalam membantu kita menyelesaikan masalah.

“Mungkin otak manusia terus bekerja dalam tahap gelombang perlahan ini untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dan menimbulkan idea-idea penyelesaian baru (yang tidak difikirkan sebelum tidur),” katanya.

Kajian yang dijalankan Dr. Fishbein mendapati sukarelawan yang hanya tidur pada tahap gelombang perlahan dan tidak bermimpi (tahap REM) secara automatik lebih cekap mengenali huruf-huruf tulisan Cina.

Kumpulan berkenaan dibiarkan tidur (tahap gelombang perlahan) selama 90 minit sahaja tetapi cuma 12 minit tidur pada tahap tersebut didakwa sudah cukup berkesan untuk meningkatkan daya ingatan.

Bagaimanapun, penyelidik dari Universiti California, Los Angeles pula mendapati gangguan tidur, sama ada bunyi luar, kesan usia, dengkur pasangan mahupun OSA akan menjejaskan daya ingatan untuk berminggu-minggu lamanya.

“Gangguan tidur boleh menghalang pembentukan sel baru di dalam bahagian memori otak (hippocampus).

“Ini cukup untuk mengganggu keupayaan seseorang mempelajari sesuatu yang baru, sehingga beberapa minggu lamanya selepas kualiti tidur kembali normal,” jelas Dr. Dennis McGinty dari universiti tersebut.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) juga menggambarkan tidak cukup atau kurang kualiti tidur sebagai satu masalah kesihatan umum yang kurang diperakui.

Tambahan pula, kajian awal Institut Kanser Kebangsaan AS sendiri menunjukkan peningkatan risiko kanser sebanyak 47 peratus bagi mereka yang mendapat kurang tujuh jam tidur setiap hari.

Bagi seseorang yang sudah membiasakan diri, mungkin tidur yang nyenyak selama empat setiap hari sudah mencukupi.

Namun, kebanyakan pakar bersetuju gangguan seperti OSA atau mana-mana tahap apnea tidur (gangguan aliran udara), gangguan luar (dengkur pasangan) dan kekangan masa tidur perlu ditangani segera bagi mengekalkan kualiti tidur.

Turut ditekan supaya mengelak amalan ‘bulimia tidur’ iaitu tidur lewat setiap malam, kemudian menghabiskan hujung minggu dengan tisur sepuas-puasnya.

Tidak perlu rasa bersalah jika anda ingin tidur selagi ia memenuhi keperluan waktu rehat dan tidak menjejaskan tugas harian.

Rawatan

DALAM merawat masalah dengkur, apa yang perlu dipastikan terlebih dahulu adalah jenis dan bahayanya kepada penghidap.

Dr. Abd. Razak menjelaskan perlu dibezakan sama ada terdapat dengkur yang teruk dan kehadiran apnea (OSA).

“Sejarah kesihatan pesakit akan diperiksa terlebih dahulu di samping ujian-ujian tertentu bagi menentukan masalah tersebut cuma dengkur biasa, teruk atau ada kehadiran apnea.

“Jika cuma masalah dengkur biasa (dan tiada apnea) dengan berat badan berlebihan, pesakit biasanya cuma dinasihatkan supaya mengurangkan berat badan,” katanya.

Tegas beliau, bentuk rawatan bergantung kepada punca, kesesuaian keadaan dan berapa teruk dengkur pesakit, terutamanya jika salur udara terhalang (apnea).

Tambahnya, pembedahan selalunya menjadi pilihan terakhir. Namun rawatan dapat meningkatkan kualiti hidup pesakit dan ada pesakit yang dapat mengawal tekanan darah dengan lebih baik selepas rawatan apnea dan dengkur.

Prinsip rawatan dengkur juga dikatakan sama iaitu untuk menguatkan palet (lelangit) yang besar dan mengurangkan getaran yang menghasilkan bunyi dengkur.

Antara kaedah rawatan bagi mengurangkan getaran (dengkur) atau apnea termasuk:

l Membuang tonsil - tonsil merupakan punca biasa dengkur di kalangan kanak-kanak.

l Alat pelarasan mandibel (rahang) - untuk membetulkan kedudukan rahang yang kecil sehingga lidah menghalang laluan udara.

l Alat menekan lidah - alat dibuat mengikut saiz lidah individu, elakkan halangan laluan udara di belakang kerongkong

l Frekuensi radio - membakar dan mengecutkan tisu lidah bagi masalah masalah lidah besar dan rahang kecil.

l C-pap (tekanan positif berterusan laluan udara) - pilihan akhir jika tidak mahu dibedah, mengepam udara masuk semasa tidur. Pesakit perlu memakai topeng udara semasa tidur dengan kos penyelenggaraan tahunan sekitar RM7,000 hingga RM9,000.

Dr. Abd. Razak menjelaskan masalah struktur seperti tulang hidung bengkok atau patah perlu dirawat sewajarnya bagi mengurangkan dengkur dan mengelakkan apnea.

“Masalah struktur salur udara yang menghalang aliran udara perlu dirawat mengikut kesesuaian.

“Pembuangan tonsil dan pembedahan menanam pillar merupakan kaedah yang paling biasa dijalankan kini,” dakwanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan terdapat pesakit yang tidak mahu dibedah, yang memerlukan penggunaan bius penuh, dan memilih kaedah lain seperti c-pap untuk mengurangkan dengkur dan apnea.

Menurut Dr. Abd. Razak, pembedahan boleh dilakukan dengan menggunakan laser, pemotong elektrik atau alat frekuensi radio.

“Satu lagi kaedah yang agak popular kini adalah kaedah penanaman pillar yang mengurangkan getaran dan juga kurang sakit,” ujarnya.

Beliau menyatakan semua teknik yang digunakan bertujuan menghasilkan ‘parut’ pada lelangit, seterusnya menguatkannya dan mengurangkan getaran.

Penggunaan pillar mengurangkan masa penyembuhan berbanding pembedahan tetapi mahal kerana menggunakan teknologi dari Amerika Syarikat.

Beliau memaklumkan kaedah pillar juga tidak ditanggung sesetengah insurans kesihatan kerana melibatkan masalah tidur dan dikaitkan dengan masalah obesiti.

“Walaupun individu dengan berat badan berlebihan memang lebih mudah berdengkur, masalah berat badan itu sendiri mungkin berpunca daripada masalah kelenjar endokrin (kelenjar pineal, pituitari, tiroid, thymus, adrenal, pankreas, ovari atau testis),” jelasnya

Kurang dengkur, nyenyak tidur

ANDA cukup tidur? Bagaimana dengan pasangan atau ahli keluarga anda? Mungkin anda lesu walaupun selepas berjam-jam tidur akibat apnea (aliran udara terhalang), sementara pasangan anda pula lesu kerana melayan alunan dengkur anda sepanjang malam.

Dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada ‘berdengkur tetap’ ataupun ‘berdengkur sambilan’.

Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.

Dengkur juga mengganggu ketenangan percutian dan perjalanan jauh di dalam bas, kereta api mahupun kapal terbang.

Ada juga pasangan yang terpaksa tidur berasingan kerana tidak tahan dengan ‘dengungan’ berpanjangan setiap malam.

Dengkur bukan apnea

Masalah struktur sekitar salur pernafasan biasanya akan menyebabkan dengkur berpanjangan sementara masalah hidung tersumbat, keletihan dan penggunaan ubat tertentu menyebabkan ‘dengkur sambilan’.

Gangguan tempoh dan kualiti tidur penghidap dengkur dan orang di sekelilingnya dalam jangka panjang dikhuatiri membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius.

Tidur tidak cukup atau kurang kualiti mungkin membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, strok serta gangguan fungsi dan ketahanan badan.

Pakar Bedah dan Perunding Leher dan Kepala (ENT), Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Dr. Abd. Razak Rahman Hamzah menegaskan dengkur adalah sesuatu yang hanya berlaku ketika tidur dan ia berbeza berbanding apnea.

“Penyempitan salur udara menyebabkan pergolakan tekanan udara dan getaran palet lembut (lelangit) serta dinding farinks. Getaran ini seterusnya menghasilkan bunyi khusus dengkur.

“Apnea pula merupakan halangan penuh salur pernafasan (hidung atau mulut) sehinggakan penghidap berhenti bernafas sekurang-kurangnya 10 saat, berulang kali semasa tidur,” katanya. Menurut beliau, dengkur dan apnea mungkin hadir bersama atau hanya salah satu sahaja.

Tegasnya, bahaya utama adalah apabila penghidap dengkur mempunyai Apnea Tidur Halangan (OSA) yang teruk, menyebabkannya berhenti bernafas lebih 30 saat, berulang kali semasa tidur.

Oleh itu, individu yang berdengkur perlu menjalani ujian tertentu bagi menentukan klasifikasi dengkur biasa, sehinggalah ke tahap OSA yang teruk.

Individu yang mengalami dengkur biasa tidak menghadapi banyak masalah selain bunyi dan keselesaan tidur (penghidap dan ahli keluarga).

Namun, individu yang berdengkur dengan kuat dan mengalami OSA yang teruk mungkin terjejas kesihatannya dalam jangka panjang.

Tahap teruknya apnea ditentukan melalui kiraan setiap jam, rendah (10 apnea sejam), sederhana (20 hingga 30) atau teruk (lebih 40 apnea sejam).

Dengkur dan apnea boleh menyebabkan kekurangan oksigen ke otak dan jantung, menjejaskan fungsi otak dan tekanan kepada jantung (jantung makin besar, denyut jantung dan pernafasan makin laju).

Gangguan tidur pesakit jelas kelihatan jika mereka masih mengantuk di waktu pagi sementara kanak-kanak kelihatan sukar memberi tumpuan.

Dr. Abd. Razak menjelaskan kira-kira 20 peratus populasi penduduk negara ini mempunyai masalah dengkur.

“Ia lebih kerap berlaku di kalangan lelaki dan individu berumur lebih 40 tahun. Namun terdapat juga peratusan kecil penghidap dengkur di bawah umur 30 tahun.

“Mereka yang kuat minum minuman beralkohol dan mempunyai berat badan berlebihan juga lebih mudah berdengkur,” ujarnya.

Jelas beliau, kanak-kanak juga mungkin berdengkur, selalunya berpunca daripada masalah tonsil.

Keluarga

Masalah dengkur turut menjejaskan tidur pasangan serta keluarga penghidap, dan selalunya merekalah yang mengenal pasti masalah tersebut.

Menurut Dr. Abd. Razak, sering kali pasangan penghidap yang mengadu tentang masalah dengkur tersebut sedangkan penghidap sendiri tidak mengakui atau tidak mengaitkan kelesuan serta sering rasa mengantuk dengan masalah dengkur.

“Sebenarnya ia bukanlah sesuatu yang memalukan kerana dengkur juga boleh berlaku jika seseorang itu terlalu letih dan juga dengan peningkatan usia. Ini kerana otot dan tisu lembut di sekitar salur pernafasan akan semakin kendur, seterusnya bergetar atau menghalang aliran udara.

“Orang kurus juga boleh berdengkur. Bunyi dengkur yang kuat pula tidak bererti masalah dengkur yang teruk, sebaliknya kehadiran apnea yang menentukan bahaya kepada penghidap,” tegasnya.

Jelas beliau, terdapat bermacam kaedah rawatan ditawarkan untuk mereka yang berdengkur atau mengalami apnea.

Tambahnya, kajian waktu tidur boleh dijalankan di rumah atau hospital, sementara kaedah rawatan mungkin semudah membetulkan posisi tidur dan mengurangkan berat badan, atau mungkin memerlukan pembedahan jika ia teruk atau membahayakan kesihatan.

Rawatan untuk mengurangkan atau menghentikan dengkur juga dapat meningkatkan kualiti tidur pasangan dan keluarga, mengurangkan bilangan ‘muka-muka lesu’ di sekolah dan pejabat.

Dengkur sememangnya bukan sesuatu yang perlu dimalukan, terutamanya dengan satu daripada lima rakyat negara ini berdengkur.

Namun, rawatan perlu dipertimbangkan jika ia mengganggu rehat anda dan keluarga, terutamanya jika dengkur anda diiringi masalah apnea.

Dapatkan maklumat terkini mengenai cara menguji dan merawat masalah dengkur anda melalui internet atau doktor pakar telinga, hidung dan tekak (ENT). Kembalikan kesunyian malam keluarga dan tingkatkan kecergasan pagi anda.

Diet seimbang pengaruhi kecergasan atlet

MAKANAN mempengaruhi kecergasan atlet dan seterusnya kemenangan selain latihan gigih dan semangat jitu semasa pertandingan.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan tenaga yang cukup terutamanya bagi para atlet sebelum dan selepas pertandingan, maka mereka sentiasa diingatkan supaya mengambil makanan yang bersesuaian dengan keperluan ketahanan tubuh dan kecergasan yang dikehendaki.

Tidak dinafikan, banyak ahli sukan yang memandang enteng terhadap pemakanan kerana menganggap semua makanan boleh menyalurkan tenaga kepada mereka tanpa mengira khasiat yang terkandung di dalamnya dan kesan mengambilnya.

Bagaimanapun, selalunya, ahli sukan digalakkan mengambil makanan yang mengandungi hampir semua nutrien makanan kecuali yang terlalu berlemak kerana itu akan memudaratkan kecergasan atlet.

Tidak dinafikan, atlet terutamanya yang menyertai sukan lasak atau ekstrem, tidak sahaja boleh bergantung kepada makanan ruji atau harian yang diambil, ia perlu dibantu dengan pengambilan makanan tambahan berbentuk bahan diproses dalam membekalkan lebih tenaga dan mencepatkan pemulihan.

Kini, makanan tambahan atau makanan kecergasan bukan lagi suatu yang baru terutamanya kepada ahli sukan ekstrem. Ia menjadi kelaziman kepada golongan ini mengambilnya untuk mengoptimumkan tenaga semasa beraksi dan selepas pertandingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pemakanan Nestle, Richard Laube berkata, latihan, perlumbaan memerlukan tenaga tetapi di mana ia boleh dibekalkan. Semua ini boleh diperoleh sekiranya atlet mengambil berat mengenai pemakanan mereka.

''Sekiranya kalori yang dibakar berpadanan dengan makanan yang diambil, seseorang atlet itu akan berupaya untuk berlatih dan beraksi dengan baik. Tetapi sekiranya mengambil terlalu banyak kalori dan berlemak, maka boleh menjejaskan kecergasan kerana lemak itu akan tepu.

''Bagaimanapun, jika terlalu sedikit pengambilan kalori pula, akan meningkatkan risiko mendapat kecederaan. Oleh itu, atlet yang menyertai sukan yang memerlukan banyak tenaga dan masa lama berlatih, memerlukan kalori dan diet yang seimbang. Dalam perkara ini, digalakkan mengambil makanan kecergasan selain makanan sedia ada semasa latihan dan perlumbaan,'' katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Nestle Nutrition-Helping Athletes Optimize Performance di Lausanne, Switzerland, baru-baru ini.

Menurut Laube, selain memberi tumpuan kepada pengeluaran produk pemakanan kanak-kanak, makanan kesihatan dan pengurusan berat badan, Nestle turut memberi penekanan terhadap makanan kecergasan terutama kepada ahli sukan.

Jelasnya, makanan kecergasan ini membantu ahli sukan beraksi lebih baik dan memenuhi keperluan psikologi serta ketahanan badan.

Mengapa ahli sukan memerlukannya? Untuk sihat, mengimbangi diet dan seterusnya kecergasan. Ia adalah produk pemakanan yang membantu membekalkan keperluan karbohidrat dan protein.

Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Presiden Eksekutif Nestle S.A memberitahu, menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Nestle, maka lahirlah makanan kecergasan, PowerBar yang boleh diperoleh dalam bentuk bar, gel dan minuman.

Sementara itu, Ketua Perniagaan Global Nutrisi Kecergasan Nestle, Philip Annett menjelaskan produk PowerBar bukan sahaja sesuai untuk ahli sukan tetapi boleh dimakan bagi mereka yang mahukan tenaga tambahan bagi menjalankan aktiviti yang memerlukan tenaga berlebihan.

''Ia mengandungi rendah lemak, protein dan karbohidrat yang menyalurkan tenaga dan kalori yang mencukupi untuk pergerakan tubuh.

''Bagi pengguna Muslim, ia adalah halal. Kami di Nestle juga prihatin dengan pengguna beragama Islam. Walaupun kebanyakan pasaran PowerBar lebih di negara-negara Barat, namun bagi memenuhi permintaan di rantau Asia, maka pusat penyelidikan kami di Australia telah memastikan produk ini halal dan boleh dimakan oleh penganut Islam,'' katanya.

Ditanya mengenai jenis yang mana akan memberi tindakbalas yang cepat, Annett berkata, gel dan cecair akan bertindak pantas dalam membekalkan tenaga berbanding PowerBar berbentuk bar.

''Ini kerana gel dan cecair lebih cepat meresap di dalam tubuh manakala bar padat dan perlu dipecahkan semasa penghadaman,'' katanya.

Pengalaman ahli sukan

Juara Olimpik berbasikal lasak, Gunn-Rita Dahle Flesja yang telah menjadi juara dunia sebanyak lapan kali berpendapat, makanan tambahan yang sering diambil sebelum menjalani latihan atau perlumbaan penting supaya tenaga yang dibekalkan olehnya boleh disimpan lama dan sekali gus penghadaman lambat berlaku.

''Saya memang mementingkan pengambilan makanan seimbang terutamanya sebelum menjalani latihan atau perlumbaan. Saya selalu mengambil makanan seperti bijirin oat, kekacang dan buah-buahan yang membekalkan protein. Manakala setengah jam sebelum beraksi, saya akan mengambil minuman PowerBar bagi memberi lebih tenaga.

''Kemudian selepas perlumbaan, untuk memulihkan semula tenaga atau kecederaan, saya akan mengambil makanan kecergasan berupa gel dan bar yang khusus untuk pemulihan. Ini akan membantu pemulihan dengan cepat,'' katanya yang telah menggunakan produk PowerBar buat sekian lama.

Sementara itu, seorang lagi pengguna produk PowerBar, bekas Juara Dunia Ironman, Faris Al-Sultan berkata, pemakanan penting kepada atlet dalam mendapatkan stamina dan kecergasan semasa perlumbaan.

"Penglibatan saya secara profesional dalam sukan triatlon sememangnya mendedahkan dirinya terhadap risiko kecederaan dan kehilangan tenaga semasa perlumbaan.

"Justeru itu, saya tidak memandang mudah terhadap pemakanan kerana ia penting sebagai pemangkin kepada kekuatan dan tenaga untuk beraksi ke arah kecemerlangan dan seterusnya menggondol gelaran juara,'' katanya.

Beliau mengakui sering mengamalkan diet yang tinggi kalsium dan protein terutama produk tenusu, kekacang serta daging merah. Bahkan menjadi pengguna setia kepada makanan kecergasan PowerBar setiap kali berlatih dan bertanding.

Galak derma organ melalui media

TAHUKAH anda di Malaysia sejak tahun 1979, hanya seramai 229 penderma organ telah dicatatkan. Manakala, dalam tahun ini sahaja, seramai 23 orang penderma telah mendermakan 24 buah pinggang, empat hati, 34 kornea, 11 injap jantung dan tiga set tulang.

Tetapi, berdasarkan statistik yang diberikan oleh Pusat Sumber Transplan Nasional, jumlah pesakit yang menunggu pendermaan untuk buah pinggang, jantung, paru-paru dan hati adalah seramai 4,181 orang. Manakala 6,162 orang lagi sedang dalam penilaian untuk dimasukkan ke dalam program ini. Cuba anda bayangkan berapa ramai pesakit yang mengharapkan ihsan anda supaya mereka diberi peluang menikmati kehidupan ini seadanya.

Buat julung kalinya Pusat Sumber Transplan Nasional mengadakan Kempen Media Pendermaan Organ 2008/2009 yang bertempat di Dewan Auditorium Hospital Kuala Lumpur.

Kempen media ini bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat akan betapa pentingnya menderma organ selepas kematian.

Pusat Sumber Transplan Nasional, sebuah agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama dengan pelbagai pihak termasuk agensi swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) giat menjalankan kempen serta promosi kepada masyarakat berkenaan pendermaan organ selepas kematian.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye. Ia turut dihadiri oleh Ketua Penyelaras dan Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan, Datin Dr. Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor, serta wakil-wakil dari NGO.

“Sejak pendaftaran pengikrar penderma organ dibuka, jumlah pengikrar tertinggi dicatatkan pada tahun 2000 iaitu seramai 16,625 orang, manakala yang rendah adalah pada tahun 1998, iaitu seramai 2,264 pengikrar.

“Bagi tahun 2008, setakat 31 Oktober, jumlah pengikrar berdaftar yang telah dicatatkan adalah seramai 10,142 orang yang menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 120,838 orang,” kata Lam Thye dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau berkata, media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan kesedaran kepada masyarakat dari berbilang latar belakang dan keturunan.

“Untuk mengajak dan menggalakkan masyarakat berikrar sebagai penderma organ bukanlah satu tugas yang mudah, namun ia tidak mustahil untuk dilakukan. Salah satu caranya adalah dengan menyampaikan mesej melalui media massa. Oleh yang demikian, KKM telah memperuntukkan sebanyak RM2.4 juta bagi menjalankan Kempen Media Pendermaan Organ,” tambah beliau.

Beliau menambah, Malaysia mencatatkan kadar kematian yang tinggi disebabkan kemalangan jalan raya.

“Sekiranya 10 peratus dari jumlah kematian itu mendermakan organ atau tisu, maka penderma hidup tidak lagi diperlukan,” ujar beliau.

Kempen media besar-besaran ini, jelasnya, merangkumi siaran iklan televisyen selama 30 saat dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil. Selain itu, media seperti media cetak juga memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej serta maklumat lanjut berkaitan pendermaan organ.

“Mesej yang cuba disampaikan dalam iklan-iklan ini ialah untuk menyatakan betapa pentingnya kesedaran umum tentang pendermaan organ,” tambah beliau.

Pada majlis itu juga, logo Pusat Sumber Transplan Nasional dengan slogan ‘A Gift of Life’. Kempen media ini dijangka tamat pada Februari 2009. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.agiftoflife.gov.my.

Tuesday, December 16, 2008

Pesakit SLE perlu sokongan moral

SEJAK beberapa tahun lalu, masyarakat semakin menyedari kewujudan penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) atau lupus yang mampu melumpuhkan kehidupan pesakit dengan simptom-simptom berbahaya termasuk mengalami serangan apabila terdedah pada cahaya matahari.

Di Malaysia, terdapat hampir 12,000 penghidap SLE dengan 90 peratus merupakan wanita manakala 10 peratus lagi terdiri daripada lelaki dan kanak-kanak berusia antara 15 hingga 50 tahun.

Ia merupakan penyakit auto-imun kronik di mana sistem imunisasi tubuh mula menghasilkan antibodi yang menyerang bahagian tubuh yang sepatut dilindunginya.

Auto-antibodi berkenaan mengakibatkan keradangan sehingga merosakkan organ badan seperti sendi, kulit, buah pinggang, paru-paru, saluran darah dan otak.

Naib Presiden Persatuan SLE Malaysia (PSLEM), Dr. Yeap Swan Sim berkata, simptom yang melanda setiap pesakit berbeza-beza mengikut individu namun setiap satunya memerlukan kaedah rawatan, pengurusan dan sokongan moral sebagai perangsang.

"Buat masa ini, tidak ada ubat khusus untuk SLE malah sejak 40 tahun lalu, pakar saintis masih belum menemui kaedah rawatan terbaru untuk mengubatinya.

"Ubat-ubatan yang digunakan kini merupakan rawatan untuk penyakit lain namun ia dapat membantu menangani kesan sampingan akibat SLE,'' katanya.

Sebahagian ubat-ubatan yang digunakan untuk mengurangkan simptom SLE dan mengawal lebihan aktiviti sistem imunisasi boleh menimbulkan kesan sampingan mudarat manakala ubat yang baru pula memakan perbelanjaan lebih besar.

Ini kerana, pengambilan corticosteroid (prednisolone) dan immunosuppresant untuk jangka panjang boleh mengakibatkan komplikasi seperti darah tinggi, diabetes, katarak dan kerosakan anggota badan lain selain menopaus awal seterusnya kemandulan.

Pun begitu, kajian mendapati berlaku peningkatan pada taraf kehidupan pesakit SLE di mana 97 peratus pesakit berupaya memanjangkan kehidupan sehingga lima tahun manakala 80 peratus hingga 90 peratus lagi hingga 10 tahun.

"Penemuan itu berkait rapat dengan pilihan rawatan lebih baik berbanding dahulu yang boleh diperoleh oleh para penghidap SLE sekarang.

"Justeru, pesakit boleh menjalani kehidupan normal. Kajian membuktikan bahawa 15 peratus hingga 20 peratus pesakit tidak mengalami kesan sampingan klinikal dengan pengambilan ubat-ubatan secara minimum,'' kata Swan Sim.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar program tahunan 'Walk-A-Payung' (Jalan Berpayung) di perkarangan pusat membeli-belah Sunway Pyramid, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Walk-A-Payung 2008, Datin Rahmah Kassim, Setiausaha Eksekutif PSLEM, Chee Siew Lian dan ahli jawatankuasa Lions Club Subang Jaya, Patrick Chong dan Sang Chin Chye.

Tahun lalu, Walk-A-Payung berjaya diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai larian berpayung terbesar pernah diadakan dengan lebih 727 penyertaan daripada orang ramai termasuk badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan.

Sementara itu, menurut Rahmah, payung yang dibawa oleh para peserta sejauh dua kilometer itu melambangkan sokongan terhadap penghidap SLE yang boleh diserang bila-bila masa jika terdedah kepada cahaya matahari.

"Kami berharap dapat mengumpul dana yang lebih besar tahun ini untuk memperluaskan perkhidmatan di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Kuantan dan Johor Bahru,'' katanya.

PSLEM mempunyai kaunselor di lima buah hospital di sekitar Lembah Klang yang berperanan memberi sokongan kepada pesakit yang baru disahkan menghidap SLE dan keluarga mereka.

Tambah Rahmah, pihaknya menyasarkan kutipan dana berjumlah RM500,000 bagi membantu pesakit kurang berkemampuan membiayai rawatan, implan katarak dan menggantikan pinggul atau pembedahan anggota badan yang rosak akibat pengambilan steroid untuk jangka masa panjang.

Katanya lagi, lebih 1,000 peserta dijangka mengambil bahagian dalam acara larian berpayung yang akan diadakan tidak lama lagi dalam usaha menyebar kesedaran terhadap SLE dan cabaran yang dihadapi pesakit dalam menjalani kehidupan seharian tanpa boleh terdedah kepada cahaya matahari.

Pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk pemeriksaan kesihatan percuma, permainan dan kuiz untuk seisi keluarga.

Tiket dijual pada harga RM20 setiap satu dan boleh didapati di pejabat PSLEM,Tingkat 3, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, No. 16, Jalan Utara, Petaling Jaya.